Kuala Lumpur: Tuduhan liar kononnya pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak komited dalam membantu mangsa banjir disangkal apabila pesawat dan helikopter TUDM sudah membuat lebih 200 penerbangan bagi menghantar bekalan dan memindahkan mangsa banjir sejak 20 Disember lalu.

Sehingga kini TUDM sudah menggerakkan dua helikopter Nuri, enam helikopter Eurocopter EC-725 dan lima pesawat pengangkut C130H serta 300 anggota bagi memastikan mangsa yang terputus hubungan akibat banjir memperolehi bantuan bekalan makanan.

Jurucakap Bahagian Perhubungan Awam TUDM berkata, tiga pangkalan udara TUDM digunakan untuk tujuan penghantaran bekalan makanan iaitu Pangkalan Udara TUDM Subang, Pangkalan Udara TUDM Kuantan dan Pangkalan Udara TUDM Gong Kedak.

Menurutnya, pangkalan udara itu akan terus mengkoordinasi usaha bagi menghantar bekalan makanan dan keperluan asas ke lokasi yang sukar dihubungi melalui jalan darat.

“Sepanjang Ops Murni dijalankan, helikopter TUDM yang terbabit dalam misi bantuan itu beroperasi dari Pangkalan Udara Kuantan dan Pangkalan Udara Gong Kedak. Kedua-dua pangkalan ini terbabit dalam misi bantuan seperti penghantaran makanan, membawa keluar mangsa dari kawasan banjir dan juga misi penerbangan ihsan,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 15 helikopter termasuk dari Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan agensi swasta beroperasi di Pangkalan Udara Gong Kedak dan di Kota Bahru.

“Helikopter dari Pangkalan Udara Kuantan juga berjaya membawa keluar 109 pelancong dan penduduk yang terperangkap di Taman Negara pada 25 Khamis lalu,” katanya.

Sementara itu Timbalan Panglima TUDM Leftenan Jeneral Datuk Che Akmar Mohd Nor berkata, seramai 70 anggota bersiap sedia sepanjang 24 jam sehari di Pangkalan Udara Kuantan untuk melaksanakan misi.

“Banjir ini sudah dijangkakan dan kami sememangnya sudah bersedia. Seperti tahun lalu, keadaan banjir terutamanya di daerah Kuantan agak teruk dan banyak pengalaman yang dipelajari dari kejadian itu,”katanya. ketika ditemui selepas turut serta mengagihkan bekalan makanan ke padang Kampung Tenggering, Temerloh semalam.

Beliau bersama wakil media bertolak dari Pangkalan Udara Kuantan jam 10.30 pagi dan mendarat di padang Kampung Tenggering sejam kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 6:28 AM