KUMPULAN Senggaraan Barisan Kedua, Cawangan Kejuruteraan TUDM Pangkalan Udara Subang membuktikan keupayaan menyelenggara Pesawat C130H (M30-11).
KUMPULAN Senggaraan Barisan Kedua, Cawangan Kejuruteraan TUDM Pangkalan Udara Subang membuktikan keupayaan menyelenggara Pesawat C130H (M30-11).
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya membuktikan kemahiran kejuruteraan dimiliki anggotanya apabila mewujudkan kembali keupayaan Senggaraan Barisan Kedua (2nd Line Servicing) bagi Kejuruteraan TUDM.

Ia dibuktikan dengan berlangsungnya Penyerahan Pesawat C130H (M30-11) yang sempurna menjalani senggaraan Structural Inspection 18 years (ST 18 years) daripada Cawangan Kejuruteraan Pangkalan Udara Subang kepada No. 20 Skuadron.

Upacara itu disaksikan oleh Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad di Pangkalan Tentera Udara Subang, kelmarin.

Turut hadir menyaksikan peristiwa bersejarah ini ialah Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Panglima Operasi Udara Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Salleh Osman TUDM, Panglima Bantuan Udara Leftenan Jeneral Datuk Muhamad Norazlan Aris TUDM, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara Mejar Jeneral Mohd Shahada Ismail TUDM dan beberapa Pegawai Kanan TUDM dan anggota TUDM khususnya Cawangan Kejuruteraan.

Ketibaan Ackbal disambut Asisten Ketua Staf Kejuruteraan Mejar Jeneral Ir Mohamad Razip A Samad yang kemudian memperkenalkan pasukan Senggaraan Structural Inspection (ST 18 Years) membabitkan empat pegawai dan 50 anggota lain-lain Pangkat (LLP).

Panglima Tentera Udara seterusnya menyaksikan penyerahan pesawat C130H (M30-11) oleh Ketua Cawangan Kejuruteraan, Pangkalan Udara Subang Leftenan Kolonel Hanable Sunday anak Edward TUDM kepada kepada Pegawai Memerintah No. 20 Skuadron Leftenan Kolonel Faizul Hussien Dato' Ismail.

Ackbal dalam ucapannya menyatakan kejayaan pelaksanaan ST 18 years bagi pesawat C130 (M30-11) amat bermakna kepada beliau selaku Panglima Tentera Udara dan seluruh warga TUDM kerana ia adalah satu inisiatif pelan jangka masa panjang yang direncanakan TUDM bagi 'mewujudkan kembali keupayaan 2nd line servicing bagi kejuruteraan secara berperingkat dan progresif'.

Beliau menjelaskan bahawa inisiatif ini adalah satu platform yang sesuai untuk mengembalikan semula martabat keupayaan kejuruteraan TUDM di dalam melaksanakan senggaraan barisan kedua selepas dasar kontraktorisasi diperkenalkan kepada TUDM selama hampir 24 tahun iaitu bermula 1997.

Secara tidak langsung, pendekatan seumpama ini akan dapat meningkatkan kembali kompetensi anggota TUDM khususnya anggota Cawangan Kejuruteraan di dalam melaksanakan senggaraan barisan kedua pesawat, menjimatkan kos dan mengurangkan kebergantungan di antara TUDM dengan pihak industri tanpa menjejaskan dasar kontraktorisasi sedia ada.

Panglima Tentera Udara berharap inisiatif seumpama ini diteruskan oleh senggaraan barisan kedua pesawat kepada pesawat TUDM lain seperti C1-H Heavy Maintenance Pesawat A400M, Structural Corrosion Inspection Program (SCIP) Pesawat B200T dan Interval 1200 Hours/3 Years Pesawat EC 725 AP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 7:02 AM