RIZAL (kanan) cetus kontroversi sebelum liga bermula.
RIZAL (kanan) cetus kontroversi sebelum liga bermula.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: “Isu ini tidak akan berlaku jika mereka dari awal lagi berurusan terus dengan kami,” kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Aminuddin Omar yang mendakwa FELDA United menggunakan ‘pintu belakang’ untuk mendapatkan tandatangan tonggak pertahanan Mohd Rizal Ghazali.

Mengakui sudah menerima afidavit dikemukakan pengurusan FELDA berhubung isu itu, pihaknya akan membalas kepada Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selewat-lewatnya esok.

Bagaimanapun, Aminuddin meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan kurang profesional The Fighters yang disifatkannya punca berlakunya kontroversi itu.

“Saya agak terkilan dengan cara mereka (FELDA) cuba mendapatkan khidmat Rizal. Sepatutnya mereka berjumpa kami (KFA) dan bukannya berbincang dengan pemain.

“Adakah mereka lupa Rizal ketika itu masih pemain kami. Jika perbincangan itu berlaku mengikut saluran betul, saya yakin isu ini tidak akan berlaku dan dapat dielakkan.

“KFA juga mempunyai perancangan tersendiri dan kami tidak pernah berhasrat mahu melepaskan Rizal. Apapun, saya akan serahkan afidavit itu bersama kronologi dan bukti lain bagi mempertahankan Rizal,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Kelmarin, akhbar ini mendedahkan Jawatankuasa Status FAM sudah menerima afidavit daripada FELDA dan badan induk bola sepak tempatan itu memberi tempoh sehingga esok untuk KFA menjawab tuntutan itu sebelum memutuskan tarikh mesyuarat sebenar.

Wira perlawanan akhir Piala Malaysia itu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila membuat persetujuan secara hitam putih untuk menyertai skuad kendalian Azmi Mohamed beberapa hari sebelum aksi final, biarpun kontraknya masih berbaki sebulan bersama Kedah.

Namun Rizal, 25, membuat ‘pusingan U’ dengan melanjutkan kontrak setahun bersama Kedah sekali gus menyaksikannya kini dalam situasi ‘bahaya’ dan kemungkinan digantung kerana melanggar peraturan perpindahan pemain.

“Sedikit sebanyak isu ini mengganggu fokus kami. Begitupun, saya percaya kes ini bakal memihak kami kerana namanya sudah didaftarkan di FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia).

“Malah, dia juga sudah bermain tempoh hari dalam aksi Piala Sumbangsih bertemu Johor DT (Johor Darul Ta’zim). Saya yakin Rizal tidak akan ke mana-mana dan kami sedia mempertahankannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 11:36 AM