Ramli Ibrahim


Gua Musang: Usaha mencari seorang lelaki yang hilang selepas dihanyutkan arus Sungai Nenggiri di sini, sejak minggu lalu diperluaskan sehingga sempadan daerah Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, gerakan mencari mangsa di sepanjang Sungai Nenggiri itu membabitkan jarak sejauh 45 Kilometer hingga ke Kampung Kemubu.

Katanya, langkah itu diambil kerana dikhuatiri mangsa dihanyutkan ke kawasan berkenaan berikutan usaha mencari mangsa di kawasan berhampiran menemui jalan buntu.

“Hari ini (semalam) kawasan pencarian diperluaskan sehingga 45 kilometer kerana kita tidak menolak kemungkinan mangsa dihanyutkan ke kawasan berkenaan berikutan arus deras.

“Gerakan mencari tidak pernah dihentikan dan operasi yang disambung jam 9 pagi ini (semalam) membabitkan 13 anggota dari pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya di sini, semalam.

Harian Metro pada 24 Januari lalu melaporkan Adnan Che Soh, 29, berasal dari Kampung Prak dihanyutkan arus Sungai Nenggiri di sini apabila motosikal ditunggangi terbalik atas jambatan Kampung Pulai Setelu.

Ketika kejadian mangsa menunggang motosikal sendirian melalui jambatan berkenaan untuk ke kampung di seberang sungai.

Rajab Ahad berkata, sebanyak empat bot digunakan untuk mengesan mangsa yang masih hilang.

“Penduduk kampung turut membantu dalam operasi mencari dengan menggunakan bot sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 10:24 AM