Anggota bomba dan penyelamat berjaya memujuk seorang lelaki yang mahu membunuh diri. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba dan penyelamat berjaya memujuk seorang lelaki yang mahu membunuh diri. FOTO ihsan bomba
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya menghalang cubaan seorang lelaki terjun dari tingkat 15 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan, di sini, hari ini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Salbani berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan terdapat lelaki cuba membunuh diri, jam 1.57 petang.

Katanya, seramai 22 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Razak dan BBP Hang Tuah, di sini, dikerahkan ke lokasi.

"Apabila anggota tiba di lokasi jam 2.09 petang, seorang lelaki berusia lingkungan 30 tahun cuba terjun dari tingkat 15 di blok A, bangunan PPR.

"Anggota berjaya menggagalkan cubaan lelaki terbabit kira-kira jam 3 petang.

"Lelaki itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 5:08 PM