Anggota bomba dan penyelamat menjalankan pemeriksaan. (Gambar kanan) Bungkusan yang dilekatkan surat ugutan. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba dan penyelamat menjalankan pemeriksaan. (Gambar kanan) Bungkusan yang dilekatkan surat ugutan. FOTO ihsan bomba
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Satu bungkusan didakwa mempunyai bom ditinggalkan bersama nota ditemui berdekatan Perpustakaan Negara, di Jalan Tun Razak, di sini, 5.30 petang tadi.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Salbani berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan penemuan bungkusan berkenaan, jam 5.33 petang.

Katanya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dikerahkan ke lokasi.

"Pemeriksaan anggota di lokasi mendapati terdapat satu bungkusan bertulis 'bom' dan surat ugutan diletakkan di pokok di kawasan tempat letak kenderaan di lokasi terbabit.

"Anggota mengarahkan orang awam mengosongkan kawasan sebagai langkah keselamatan dan pihak polis turut dimaklumkan mengenai kejadian.

"Pemeriksaan lanjut sedang dilakukan oleh pihak polis," katanya menerusi satu kenyataan, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 8:06 PM