GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Remaja lelaki ditemui lemas ketika mandi di dalam paya berhampiran rumah di Ketereh, di sini, hari ini.

Mangsa, Mohd Danial Asyraf Mohd Zulkhairul, 15, ditemui ahli keluarga dan penduduk kampung pada 2 petang dan disahkan meninggal oleh pihak Klinik Kesihatan Perol, di sini.

Mangsa bersama sepupu serta bapa saudara mandi di kawasan paya yang ditenggelami air sedalam dua meter dan mengalami kekejangan ketika berenang sebelum dihanyutkan arus deras dalam jarak dua meter.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak bermain atau mandi di kawasan ditenggelami air bagi mengelak kejadian berkenaan.

Dalam perkembangan yang sama, sepasukan anggota bomba dari Balai Ketereh ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.45 tengah hari tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Pegawai Bomba Kanan II Halim Mat Zin berkata, ketika sampai di lokasi, mangsa diselamatkan oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia oleh pihak klinik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 7:48 PM