MANGSA
MANGSA
Nor Amalina Alias

PELAJAR tingkatan lima ditemui lemas ketika mandi di tali air di Kampung Padang Lembek, Ketereh di Kota Bharu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Muhammad Nor Haris Ismail,17, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat pelajar Sekolah Menengah Ugama Taqaddul Umul Ilmi itu dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 2.58 petang.

Katanya, mangsa dikatakan lemas ketika mandi di kawasan tali air itu bersama beberapa rakannya.

“Polis tiba di lokasi jam 3 petang dan selang lima minit kemudian, mangsa berjaya ditemui sebelum dibawa naik ke tebing oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh.

"Mangsa kemudian dibawa ke klinik berhampiran tetapi disahkan sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mayat kemudian dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 9:35 AM