ANGGOTA bomba memeriksa mayat Abdul Kadir yang ditemui di dalam tali air berhampiran sawah di Kampung Padang Lembek, Ketereh, Kota Bharu, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba memeriksa mayat Abdul Kadir yang ditemui di dalam tali air berhampiran sawah di Kampung Padang Lembek, Ketereh, Kota Bharu, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


LELAKI warga emas ditemui lemas di dalam tali air berhampiran sawah di Kampung Padang Lembek, Ketereh, Kota Bharu, hari ini.

Mangsa, Abdul Kadir Hamat, 80, ditemui penduduk kampung yang dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah pada 7 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ketereh, Ahmad Fakaruddin Berahim, berkata mangsa yang mengalami strok sebelah badan berjalan seorang diri untuk minum di kedai kopi berdekatan kira-kira 6 petang semalam.

Katanya, warga emas itu tidak pulang ke rumah dan anaknya menyangka ayahnya berjalan ke rumah anak lain yang tinggal berdekatan sebelum mayatnya ditemui penduduk kampung hari ini.

“Penduduk berkenaan memaklumkan kepada kami dan lapan anggota bomba dari BBP Ketereh bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai, kami mendapati mangsa lemas di dalam tali air dipenuhi air sedalam 0.5 meter dan kami mengangkat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 8:43 PM