DJOKOVIC terlalu kecewa selepas kalah mengejut.
DJOKOVIC terlalu kecewa selepas kalah mengejut.
AFP

Melbourne: Novak Djokovic mengalami kekalahan terbesar dalam kariernya apabila dia tersingkir daripada Terbuka Australia di tangan pemain ranking ke-117 dari Uzbekistan Denis Istomin (gambar) semalam, sekali gus meneruskan kemerosotan prestasinya.

Dengan Istomin penuh bersemangat, juara bertahan itu melakukan 72 ‘unforced errors’ ketika dia kecundang 6-7 (8/10), 7-5, 6-2, 6-7 (5/7), 4-6 pada pusingan kedua lantas menamatkan usahanya membida kejuaraan ketujuh di Melbourne Park.

Dalam undian wanita, Serena Williams mengetepikan Lucie Safarova 6-3, 6-4 namun pilihan ketiga Agnieszka Radwanska terkandas apabila tumpas 3-6, 2-6 kepada pemain veteran Croatia Mirjana Lucic-Baroni.

Sudah lebih sedekad sejak Djokovic tersingkir awal pada Terbuka Australia dan dia tidak pernah kalah pada pusingan kedua mana-mana acara Grand Slam sejak Wimbledon pada 2008.

Djokovic hanya pernah dikalahkan sekali pemain di luar kelompok 100 terbaik dalam tempoh tujuh tahun terakhir apabila dia tewas kepada pemain ranking ke-145 Juan Martin del Potro pada Sukan Olimpik Rio.

Keputusan mengejutkan itu membuka saingan pertandingan lelaki ketika juara enam kali itu dijangka layak ke final 29 Januari ini, yang mana dia diramal bertemu naib juara lima kali Andy Murray.

Ia juga menimbulkan persoalan mengenai pemain nombor dua dunia itu, yang semakin merudum sejak melengkapkan karier Grand Slam dan memenangi kejuaraan utama ke-12 pada Terbuka Perancis tahun lalu.

“Ini harinya yang mana anda tidak berasa hebat di gelanggang, tidak mempunyai rentak yang baik dan pemain yang anda tentang berasa terlalu selesa,” katanya. “ Inilah sukan.”

Ketika Djokovic dikejutkan dengan kekalahan itu, Istomin yang dilatih oleh ibunya bergembira kerana tidak pernah layak ke pusingan ketiga dalam 11 kunjungan ke Melbourne Park.

“Saya minta maaf kepada Novak, saya bermain dengan terlalu bagus hari ini,” katanya. “Saya sendiri terkejut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 11:46 AM