KEI NISHIKORI
KEI NISHIKORI
AFP

MELBOURNE: Bintang Jepun, Kei Nishikori menarik diri dari Terbuka Australia dengan alasan dia tidak bersedia untuk bermain gara-gara kecederaan pergelangan tangan yang dialaminya.

Pemain nombor satu Asia itu tidak beraksi secara kompetitif sejak Ogos lalu selepas otot pergelangan tangan kanannya koyak ketika menjalani latihan di Cincinnati.

“Saya terpaksa mengumumkan bahawa saya tidak akan bermain di Terbuka Australia tahun ini,” katanya di laman web rasmi kejohanan Grand Slam pembuka tirai musim ini yang dijadualkan berlangsung di Melbourne pada 15 Januari.

“Terbuka Australia adalah kejohanan yang paling saya minati ... ia adalah seperti bermain di ‘rumah’ sendiri.

“Penganjur sering mengutamakan pemain dan pasukan sekali gus membuatkan saya sangat kecewa kerana tidak dapat bersama tahun ini.

“Proses penyembuhan saya berjalan baik cuma saya belum 100 peratus sedia untuk kembali bermain.”

Nishikori bukanlah satu-satunya pemain utama yang bergelut dengan masalah kecederaan dan masih ada lagi beberapa nama besar yang masih belum tentu dapat beraksi di Melbourne Park.

Bekas pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic dan Andy Murray juga masih belum mengesahkan penyertaan masing-masing.

Djokovic yang juga juara 12 Grand Slam, masih belum bermain sejak mengalami kecederaan siku kanan yang menyaksikannya terpaksa menarik diri dari suku akhir Wimbledon, Julai lalu.

Dia sudah membatalkan penyertaan pada perlawanan pertunjukan di Abu Dhabi dan Terbuka Qatar tetapi dia mengesahkan bahawa akan menguji kemampuannya di Kejohanan Klasik Kooyong di Melbourne minggu depan.

Murray turut bergelut apabila menarik diri dari Kejohanan Antarabangsa Brisbane dan dia sedang menjalani proses pemulihan kecederaan pinggul yang menyaksikannya tidak bermain sejak Wimbledon.

Tumpuan kini terarah kepada Nishikori tetapi dia turut menarik diri.

Pemain berusia 28 tahun itu yang menduduki tangga keempat dunia pada 2015, memilih untuk menjalani proses pemulihan secara semula jadi berbanding pembedahan ke atas pergelangan tangannya dan menyasarkan untuk kembali bermain di Brisbane.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 8:25 AM