DJOKOVIC memeluk trofi Terbuka Australia yang dimenanginya buat kali ke-10. FOTO AFP
DJOKOVIC memeluk trofi Terbuka Australia yang dimenanginya buat kali ke-10. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Novak Djokovic berkata, 'memang menyakitkan saya dan dia' apabila mereka membuat keputusan bapanya tidak berada di tepi gelanggang menyaksikan dia memenangi Terbuka Australia, semalam, susulan kontroversi mengenai bendera Rusia.

Srdjan Djokovic tiada dalam kotak khas untuk penyokong bintang Serbia itu ketika dia menewaskan Stefanos Tsitsipas di Rod Laver Arena, apabila Novac menjulang gelaran ke-10 di Melbourne Park, sekali gus menyamai rekod 22 gelaran Grand Slam.

Tempat duduk di sebelah ibunya, yang selalu diduduki oleh Srdjan, kosong.

"Kami setuju lebih baik jika dia tidak berada di situ," kata Djokovic selepas menang gelaran ke-10 Terbuka Australia.

"Keputusan itu sangat menyakitkan saya dan dia kerana ini adalah detik istimewa, saat unik dan siapa tahu sama ada boleh berulang lagi atau tidak.

"Ia bukan sesuatu yang mudah buatnya. Saya bertemunya selepas perlawanan dan dia bukan berada dalam keadaan terbaik. Dia memeluk saya dengan gembira, tetapi saya boleh rasakan dia agak sedih.

"Apapun, di akhirnya, ia adalah kesudahan yang menggembirakan," kata Djokovic, 35.

Srdjan turut membuat keputusan tidak menyaksikan perlawanan separuh akhir selepas dia menerima panggilan diketuai oleh Ukraine untuk mengharamkannya di acara Grand Slam di Melbourne Park.

Khamis lalu, satu video disiarkan di akaun YouTube pro Rusia menunjukkan dia bergambar dengan seorang lelaki yang memegang bendera Rusia serta muka Presiden Vladimir Putin di atasnya.

Kapsyen video itu tertulis: "Bapa Novak Djokovic membuat kenyataan politik yang jelas."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 9:52 AM