Jasin: Tuah mengiringi Ma Wong Ee dari pasukan TK Batu Pahat selepas bertindak menukar kategori dari Master XC Metro ke Master Jamboree di Asahan, di sini, apabila muncul juara kategori itu, kelmarin.

Tukang masak berusia 42 tahun itu berkata, selepas menduduki tempat kelima kategori Master XC Metro di Pulau Pinang, dia yakin mampu melakukan kayuhan lebih baik di Asahan.

“Ketika beraksi di Pulau Pinang, saya tersilap masuk kategori, jadi saya menukarnya di sini dan hasilnya cukup menggembirakan apabila menang,” katanya.

Pada saingan Master Jamboree itu, Wong Ee menewaskan Ahmad Salleh Hairan daripada pasukan Mega Ledang Cycling Club dan Eric Loke (LM Bikers) yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Kategori Wanita Jamboree pula menyaksikan Nur Fatin Afisya HAmzah (Amaniz Cycling Team) muncul juara mengatasi peserta individu Ain Nurul Huda dan Mardiana Mohd Radzi (Chiru Endurace).

Muhammad Ayub Mohd Radzi (SBS Giant Racing Team) pula muncul juara Junior Jamboree selepas mengatasi Mohd Aidil (Exitway Mercury) dan peserta individu Hafiz Samsudin.

Kategori Elite Jamboree pula dimenangi Mohd Zukri Tahir (Polygon Malaysia) yang menewaskan dua pelumba SBS Giant Racing Team iaitu pelumba kebangsaan Suhardi Hassan dan Azizul Azli Shaari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:04 AM