DERETAN simulator.
DERETAN simulator.
AZRIL menerangkan fungsi simulator.
AZRIL menerangkan fungsi simulator.
BINAAN PC yang menarik.
BINAAN PC yang menarik.
PERANTI khas digunakan.
PERANTI khas digunakan.
WANITA juga tidak ketinggalan.
WANITA juga tidak ketinggalan.
Nurul Husna Mahmud


Ketakutan dan keseronokan memandu secara maya menerusi simulator disediakan Simulator Dot Asia antara pengalaman baru ketika mengunjungi Cyberfusion 2016 baru-baru ini.

Meskipun hanya permainan video, perasaannya cemas sebaik kereta lumba dipandu melanggar ‘bunker’ litar ditambah keterujaan kenderaan memecut laju setiap kali pedal minyak kereta ditekan terasa benar.

Impak itu makin bertambah apabila mencuba peralatan berupa cermin mata khas ‘Virtual Realiti’ (VR) meningkat kualiti visual pemain biarpun hanya mampu bertahan selama 3 minit, ia tidak menjejaskan keseronokan bermain.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Simulator Dot Asia Azril Nazli Alias dalam ‘jamming’ permainan video dalam talian terbesar di Malaysia itu, pihaknya mengambil kesempatan berkongsi pengalaman menggunakan mesin simulator.

“Kami selaku pembuat simulator mengambil kesempatan memeriahkan acara Cyberfusion dengan lapan simulator menerusi penganjuran pertandingan Simulator Perlumbaan Kereta DXRacer.

“Simulator ini menghubungkan pemandu simulator serata dunia menerusi dalam talian malah perisian sama juga digunakan pelumba profesional berlatih mengendali kereta lumba sebelum turun ke litar,” katanya.

Tambah Azril keistimewaan simulator meskipun semua mesin itu membabitkan permainan perlumbaan kereta, model untuk setiap satu sangat berlainan sekali.

“Menariknya mengenai simulator ada pada acara ini bukan datang dalam salinan binaan sama sebaliknya berbeza. Lapan simulator ini mempunyai pemilik tersendiri dan tidak semestinya datang daripada latar belakang jurutera mahupun komputer.

“Sebaliknya didorong minat mendalam untuk mencapai kepuasan bermain optimum dan semua itu dapat diraih dengan memiliki simulator bersesuaian. Bajet dan permintaan individu antara aspek mempengaruhi variasi simulator.

“Simulator ada juga mempunyai spesifikasi mesin berbeza baik segi binaannya baik stereng, gear, mahupun pedal minyak serta panel berkaitan kerana ia mengikut pilihan pemilik. Semuanya ada pemilik dan menelan belanja ribuan ringgit.

“Harapan moga pengunjung Cyberfusion berpeluang merasai keseronokan bermain permainan video menerusi Simulator kerana kepuasannya berbeza. Wakil dalam industri ini semestinya kami mahu melihat teknologi ini berkembang,” katanya.

Buat penganjur Cyberfusion, Pengarah Spot Games Rinie Ramli berkata, kehadiran pelbagai peminat mahupun komuniti sukan siber membuatkan acara itu menjadi tumpuan bukan saja kalangan tempatan malah serantau.

“Kita pernah mendapat pengiktirafan ‘The Biggest LAN Party Southest Asia Guiness Record’ dan ‘Longest LAN Party in the World’ pada 2009.

“Sejak itu ramai peminat permainan video dalam talian mula memberi perhatian kepada acara ini. Malah seawal kita membuka sesi pendaftaran slot sudah penuh.

“Kita membantu mereka dengan menyediakan kemudahan asas seperti tempat, makan minum serta kemudahan lain sepanjang dua hari di sini.

“Kita berharap dapat menganjurkan pada skala lebih besar membabitkan peserta antarabangsa,” katanya.

Bagi wakil Malaysian Battlefield Team (MBT) Utara Tengku Aisharukamil Tengku Ahmad berkata, penganjuran Cyberfusion sebagai platform untuk menghubung pemain, pereka serta usahawan terbabit dalam cabang sukan siber ini.

“Kalau selama ini pemain berhubung menerusi virtual, tetapi Cyberfusion membantu merapatkan lagi hubungan secara fizikal. Pandangan awam terhadap pemain pemainan video seperti anti sosial dan membazir kini berubah. Malah ada datang ke sini membawa keluarga, ini memberi contoh baik,” katanya.

Rakannya Quek Wem Shen berkata, pihaknya dapat mencari pemain baru muda yang berbakat serta mempunyai potensi besar dalam kejohanan permainan video.

“Kami dari MBT sebenarnya terbabit secara serius dalam sukan siber. Kami menyertai pertandingan peringkat kebangsaan malah dunia secara profesional.

“Harapan cukup besar dapat menemui pemain berpotensi besar untuk penyertai pasukan kami terus harumkan negara dalam kejohanan sukan siber peringkat dunia,” katanya.

Sementara itu pengunjung dari Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Nahili Abdullah berkata banyak perkongsian ilmu mengenai teknologi baru diperoleh apabila hadir ke festival ini.

“Saya mempunyai syarikat dalam bidang ini. Meskipun saya mempunyai latar pendidikan dalam bidang perundangan tetapi ‘jiwa’ lebih cenderung kepada permainan video mahupun komputer.

“Justeru boleh dikatakan apa saja berkaitan bidang ini saya minat termasuk menyertai acara berkenaan. Ia penting membina rangkaian selain ‘lubang’ mendapat PC elok dan berkualiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 5:05 AM