PEI Jing (depan), Kian Meng akui harapan tinggi penyokong,
PEI Jing (depan), Kian Meng akui harapan tinggi penyokong,
Ferzalfie Fauzi

Sibu: Selepas ketiadaan gandingan utama, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing berjanji tidak mengecewakan dengan memberikan permainan terbaik di Masters Malaysia.

Dia yang bergandingan bersama Tan Kian Meng mengakui diberikan harapan tinggi peminat selepas mereka muncul naib juara kejohanan sama tahun lalu selain status mereka selaku pasangan nombor sembilan dunia.

“Sudah pasti saya perlu membiasakan diri dengan harapan tinggi peminat terutama selepas beberapa pemain utama negara tidak beraksi di kejohanan ini,” kata pemain berasal dari Kuantan itu.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai tanggungjawab ini tapi lebih kepada fokus terhadap perlawanan kami sendiri. Bagaimanapun, sekarang saya kurang berpuas hati dengan tahap persediaan tapi tidak perlu tergesa-gesa dan paling penting turun ke gelanggang dengan memberikan yang terbaik.

“Jika saya berjaya memberikan yang terbaik, sudah pasti kami mampu mencatatkan kemenangan,” katanya yang akan turun bersama Kian Meng menentang pasangan Indonesia Ferdinand Sinatra Surbakti-Cynthia Shara Ayunidha hari ini.

Selain Kian Meng-Pei Jing, Malaysia mempertaruhkan pasangan ketiga, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie yang akan turun beraksi di Stadium Tertutup Sibu hari ini, bertemu Henry Jansen Putra Wibowo-Rofahadah Supriadi Putri (Indonesia).

Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang perak Sukan Olimpik Rio 2016 tidak mengambil bahagian selepas Liu Ying mengalami kecederaan lutut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 12:25 PM