ZULFADHLI (kanan) yakin mampu ulang pencapaian cemerlang di Sukan SEA Singapura.
ZULFADHLI (kanan) yakin mampu ulang pencapaian cemerlang di Sukan SEA Singapura.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pemanah compound negara Zulfadhli Ruslan menaruh keyakinan dia dan rakan sepasukan mampu mengulangi persembahan cemerlang pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pemanah compound negara cemerlang pada Sukan SEA Singapura tahun lalu apabila memenangi empat daripada lima emas yang dipertandingkan, hanya meraih perak dalam acara individu lelaki.

“Sudah pasti pencapaian di Singapura menjadi sandaran kepada kami untuk terus cemerlang di tempat sendiri.

“Tekanan memang ada namun saya yakin ia tidak akan menjadi masalah besar sekiranya semua perancangan dan program pendedahan dalam tempoh lapan bulan ini mampu dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya yang memenangi emas acara berpasukan di Singapura.

Seperti edisi Sukan SEA tahun lalu, temasya di Kuala Lumpur turut mempertandingkan lima acara iaitu individu lelaki, individu wanita, berpasukan lelaki, berpasukan wanita dan campuran, sama seperti disiplin recurve yang mempertaruhkan lima emas.

“Seboleh-bolehnya kami mahu menang semua emas yang dipertandingkan kerana misi utama adalah membantu kontinjen negara muncul juara keseluruhan seperti yang disasarkan.

“Namun pada masa sama, kami tidak boleh memandang rendah negara lain seperti Indonesia, Thailand serta Filipina yang turut mempunyai pemanah berpengalaman,” jelasnya.

Skuad negara yang berehat sejak beberapa bulan lalu akan kembali bersaing dalam musim baru bermula hujung bulan depan apabila menyertai Kejohanan Asia Tenggara di Myanmar.

Ia disusuli pusingan kedua Piala Asia di Bangkok pada Mac serta pusingan pertama Piala Dunia di Shanghai pada Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 5:10 AM