RONALDO meraikan kejayaan Real Madrid muncul juara Piala Kelab Dunia FIFA di Jepun, baru-baru ini.
RONALDO meraikan kejayaan Real Madrid muncul juara Piala Kelab Dunia FIFA di Jepun, baru-baru ini.
AFP

Dubai: Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo dan jurulatih Portugal yang memenangi Euro 2016, Fernando Santos meraih hadiah utama pada edisi ketujuh Anugerah Bola Sepak Dunia di Dubai, semalam.

Ronaldo meraih anugerah pemain terbaik selepas membantu negaranya merangkul kejuaraan utama sulung pada Kejohanan Eropah tahun ini selain mengemudi Real melakar rekod memenangi Piala Eropah kali ke-11.

“Mungkin ini tahun terbaik saya setakat ini,” kata Ronaldo, yang memenangi Ballon d’Or buat kali keempat awal bulan ini dalam satu mesej ringkas menerusi tayangan video.

“Orang masih ragu-ragu mengenai saya, mengenai Real Madrid, mengenai pasukan kebangsaan tapi anda sudah mendapat buktinya. Kami menang semuanya, jadi ia tahun yang menakjubkan, saya terlalu gembira.”

Santos, 62, dinamakan sebagai pengurus terbaik selepas merencana kejayaan gemilang Portugal di Perancis, manakala pemenang Liga Juara-Juara Real Madrid meraih hadiah kelab terbaik tahunan.

Jurulatih Paris Saint-Germain, Unai Emery, tertekan di Parc des Princes berikutan babak pertama musim yang hambar, turut menerima anugerah kerana membantu Sevilla menjuarai Liga Europa tiga tahun berturut-turut sebelum berpindah ke Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 8:18 AM