AFP

Madrid: Bintang Real Madrid Cristiano Ronaldo menyatakan dia adalah “sebahagian daripada sejarah bola sepak” dalam satu temu ramah yang diterbitkan sehari selepas memenangi anugerah pemain terbaik FIFA 2016.

“Saya tidak ragu-ragu saya sudah menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak. Ia sentiasa menjadi matlamat utama saya, sejak saya mula bermain: bukan hanya untuk menjadi pemain, tapi menjadi bintang dan sentiasa berusaha menjadi yang terbaik,” katanya.

“Saya berjaya melakukannya: trofi ini membuktikannya kedua-dua kejuaraan, anugerah peribadi dan rekod. Ia penghargaan tertinggi dan merangsang saya untuk terus bekerja keras seperti dilakukan sekarang.”

Ronaldo, 31, meraih anugerah itu pada malam penuh gemilang di Zurich selepas tahun cemerlang yang menyaksikan dia membantu Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara dan Kejuaraan Eropah 2016 bersama Portugal.

Dia sudah memenangi anugerah Ballon d’Or selepas merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara ketiganya, apabila dia meledak 16 gol dalam 12 perlawanan.

Namun bagi pemain Portugal itu, menjuarai Euro 2016 adalah kemuncak kariernya.

“Bukan untuk merendah-rendahkan trofi lain, Liga Juara-Juara dan Piala Kelab Dunia tapi ini amat istimewa kerana ia kejuaraan sulung dalam sejarah Portugal.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 8:41 AM