Reuters

Paris

Meskipun Seleccao diperkuatkan kembali dengan kepulangan Cristiano Ronaldo ke dalam skuad kebangsaannya, ia tetap tidak dapat mengubah takdir Portugal di bawah bimbingan pengurus baru Fernando Santos apabila tewas 1-2 pada perlawanan persahabatan, awal pagi semalam.

Selepas dikejutkan dengan kekalahan di tangan Albania pada aksi pertama kelayakan Euro 2016, Santos yang menggantikan pengurus sebelum ini Paulo Bento, kelihatan berada pada laluan terbaik untuk mencatat kemenangan pertama, namun barisan pemainnya dihampakan dengan dua jaringan tuan rumah menerusi Karim Benzema dan Paul Pogba di Stadium Stade de France.

Jaringan Ricardo Quaresma pada minit ke-79 masih tidak cukup buat menyekat tuan rumah mencipta kemenangan, malah dengan kekalahan itu sedikit sebanyak menggugat persiapan Portugal yang turun bertemu Denmark awal pagi Rabu ini apabila anak buah Santos dituntut meraih kemenangan pada aksi kedua kempen kelayakan Euro.

Kehadiran Ronaldo bersama skuad kebangsaan selepas kekalahan kepada Albania, gagal memberi impak bermakna buat membantu pasukan dengan penyerang prolifik itu hilang punca sepanjang aksi itu.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-52, namun tandukan Ronaldo tepat ke arah penjaga gol Perancis Steve Mandanda bagi menghalang jaringan pelawat. Akhirnya, Ronaldo digantikan pada minit ke-76 apabila kecederaan lamanya di bahagian lutut kembali mengganggu pemain Real Madrid itu dan Santos tiada pilihan lain mengeluarkannya.

Sebelum itu, rakan penyerangnya di kelab Real Madrid, Benzema meletakkan Perancis di depan seawal minit ketiga perlawanan. Pogba menambah gol kedua pada minit ke-69 buat mengukuhkan kedudukan tuan rumah.

Ketika perlawanan seakan berkesudahan dengan kemenangan 2-0, Quaresma berjaya menghadiahkan gol saguhati dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-79, namun jaringan itu masih belum cukup menyekat kemenangan Perancis di depan penyokong sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:04 AM