Antara rampasan Ops Water I membabitkan penyelewengan agihan projek bernilai RM3.3 bilion sejak 2010 di Jabatan Air Negeri Sabah (JANS)
Antara rampasan Ops Water I membabitkan penyelewengan agihan projek bernilai RM3.3 bilion sejak 2010 di Jabatan Air Negeri Sabah (JANS)
Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Tiga individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Oktober lalu berkaitan siasatan kes penyelewengan agihan projek bernilai RM3.3 bilion sejak 2010 di Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dijangka didakwa esok.

Sumber SPRM berkata, ketiga-tiga individu yang ditahan menerusi Ops Water I bermula 4 Oktober lalu dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kota Kinabalu, pagi esok.

"Selain itu, SPRM juga dijangka mengadakan sidang media jam 2.30 petang esok, di Ibu Pejabat SPRM Sabah berhubung perkembangan terbaru Ops Water," katanya di sini, hari ini.

Pada 4 Oktober lalu, SPRM menahan bekas pengarah berusia 54 tahun dan timbalannya berusia 51 tahun di pejabat mereka, selain seorang akauntan berusia 50 tahun dan individu bergelar Datuk berusia 55 tahun yang juga abang kepada bekas timbalan pengarah terbabit.

Bekas pengarah dan timbalannya itu didakwa menyalahgunakan kuasa dengan memonopoli dan memberikan projek pembinaan infrastruktur asas berkaitan air bernilai RM3.3 bilion sejak tahun 2010 kepada adik-beradik mereka.

Berikutan penahanan itu, SPRM menyita wang tunai berjumlah RM52.2 juta dengan masing-masing RM45 juta daripada bekas pengarah dan RM7.2 juta lagi daripada timbalannya. Semua wang terbabit ditemui disembunyikan dalam rumah, pejabat dan kereta milik suspek.

SPRM turut merampas, menyita dan membekukan harta lain milik suspek termasuk sembilan kenderaan mewah, geran tanah (127 keping), beg tangan mewah (98) dan barang kemas (14 kilogram), sejumlah jam tangan mewah serta wang dalam akaun suspek bernilai RM62 juta.

Nilai keseluruhan rampasan terbabit termasuk wang tunai dan wang dalam akaun di luar negara dianggarkan lebih RM180 juta, menjadikannya rampasan terbesar pernah dibuat SPRM dalam sejarah 49 tahun agensi itu sejak dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Sepanjang proses siasatan menerusi Ops Water I&II, SPRM menahan 28 individu membabitkan seorang bekas pengarah, dua bekas Timbalan Pengarah, 23 jurutera dan juruteknik serta dua orang awam yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, sebelum ini melaporkan seramai 200 saksi dirakam percakapan selain menganalisis serta menyemak dokumen seberat 12 tan berkaitan siasatan kes berkenaan.

Selain itu, proses siasatan dilakukan secara teliti dan mendalam bagi melihat pelbagai aspek perundangan dengan pembabitan 137 pegawai SPRM dari ibu pejabat, bahagian serta negeri lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 7:54 PM