Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Empat individu termasuk dua pegawai jabatan kerajaan direman tujuh hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret, di sini, bagi bantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek bernilai RM3.3 bilion.

Selain pengarah dan timbalannya, dua lagi individu yang ditahan semalam adalah ahli perniagaan bergelar datuk iaitu abang kepada seorang timbalan pengarah serta akauntan syarikat terbabit, masing-masing berusia 55 dan 50 tahun.

Majistret Stephanie Sharron Abbie menetapkan semua tertuduh direman bermula sehingga 11 Oktober depan.

Terdahulu, pengarah, 54, dan timbalannya, 51, ditahan SPRM jam 9.15 pagi di pejabat mereka, semalam.

Turut disita wang tunai bernilai lebih RM10 juta yang ditemui di pejabat, rumah dan kenderaan milik suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 4:11 PM