IKAN lomah betina lebih besar daripada jantan.
IKAN lomah betina lebih besar daripada jantan.
ANAK ikan lomah dari haceri (rumah pembiakan) dipindahkan ke kolam asuhan.
ANAK ikan lomah dari haceri (rumah pembiakan) dipindahkan ke kolam asuhan.
PEMBANTU Penyelidik Kanan PPPAT, Ramley Abu Bakar melepaskan ikan lomah dalam kolam pembiakan.
PEMBANTU Penyelidik Kanan PPPAT, Ramley Abu Bakar melepaskan ikan lomah dalam kolam pembiakan.
KOLAM asuhan ikan lomah di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) Galmi Lemi, Jelebu.
KOLAM asuhan ikan lomah di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) Galmi Lemi, Jelebu.
Abnor Hamizam Abd Manap


Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) Glami Lemi, Jelebu, Negeri Sembilan, julung kalinya giat menjalankan pembiakan ikan lomah atau nama saintifiknya Thynnichthys Thynnoides.

Lomah adalah sejenis ikan Cyprinid daripada keluarga terbesar di kawasan tropika dan dikategorikan ikan air tawar endemik iaitu hanya terdapat di lokasi tertentu di Semenanjung.

Pegawai Penyelidik PPPAT Glemi Lemi Jamaludin Ibrahim berkata, lokasi popular ikan lomah berkumpul dan bermigrasi ke hulu untuk bertelur adalah di Sungai Rui, Gerik, Perak.

Beliau berkata, di daerah Lenggong, lomah bersaiz besar boleh mencapai berat antara 300 hingga 400 gram dan spesies berkenaan boleh ditangkap di Tasik Raban.

“Ikan berkenaan menjadi spesies penting bagi penduduk tempatan terutama untuk dibuat pekasam selain telurnya boleh dijadikan makanan istimewa.

“Ia ditangkap nelayan di Tasik Raban dan dijual kepada pengusaha ikan pekasam. Malah, ia dijual di pasar Kampung Kuak dengan harga semasa RM8 sekilogram. Pekasam yang diproses secara tradisional boleh diperolehi di kampung sekitar Tasik Raban.

“Berdasarkan perangkaan tahunan Jabatan Perikanan menunjukkan Perak menyumbang kepada pendaratan spesies ini,” katanya.

Katanya, pada tahun 2013, pendaratan lomah adalah 58.80 tan sementara dua tahun kemudian, menurun kepada 18.89 tan atau pengurangan pendaratan sebanyak 67.8 peratus.

Musim pembiakan lomah di Sungai Rui dan Tasik Raban adalah pada Ogos hingga November setiap tahun.

“Pembiakannya berkait rapat dengan musim hujan di Hulu Perak (Gerik dan Lenggong) namun jika dilihat kepada trend hasil tangkapan, spesies ini berkemungkinan terus pupus disebabkan eksploitasi sumber yang dilakukan.

“Ini termasuk menangkap ketika musim bertelur selain induk ikan ditangkap secara bebas tanpa kawalan,” katanya.

Jamaludin berkata, lomah bukanlah ikan yang lasak kerana akan mati dalam tempoh 24 jam selepas ditangkap walaupun disimpan dalam tangki berisi air.

“Selepas ditangkap, ikan ini mengeluarkan tompok kemerahan di badan sebelum mati. PPPAT giat menjalankan penyelidikan bagi memastikan ikan ini boleh hidup selepas ditangkap dan antara yang dikenal pasti melalui proses pembiakan aruhan secara cepat atau ‘jump start’.

“PPPAT sudah memulakan pembiakan secara aruhan sejak tahun 2015 dengan mengeluarkan benih lomah untuk dipelihara di dalam kolam. Inisiatif ini diambil supaya ikan itu boleh dikeluarkan dalam jumlah besar dari kolam penternak khususnya untuk pengusaha industri perkasam.

“Pembiakan sudah dijalankan kali kedua pada musimnya iaitu Oktober lalu. Ia satu penemuan yang pertama di negara ini bagi penyelidikan ikan lomah yang dijalankan di PPPAT Glami Lemi,” katanya.

Menurutnya, bagi tujuan pembiakan, kakitangan PPPAT akan mendapatkan sendiri induk ikan itu dengan menjala di Lenggong sebelum ikan berkenaan dibungkus dalam beg plastik bersama oksigen untuk dibawa pulang ke Jelebu.

“Di PPPAT, suntikan hormon ovaprim dengan dos ditetapkan diberi kepada kedua-dua induk jantan dan betina. Dos untuk induk jantan hanya diberi separuh daripada dos ikan betina.

“Proses peliritan ikan betina untuk mengeluarkan telur dan melirit sperma ikan jantan untuk dicampur dengan telur sebagai proses pensenyawaan yang kemudian diikuti dengan proses inkubasi telur hingga penetasan berlaku,” katanya.

Jamaludin berkata, kebanyakan telur dijangka menetas selepas dua hari dan berkumpul dalam tangki fiber. Pada peringkat ini, larva ikan masih bergantung kepada simpanan makanan yang dipanggil ‘egg yolk.’

“Air hijau dari kolam ternakan yang mempunyai banyak sumber planton yang halus dimasukkan ke tangki sebagai makanan. Larva ikan lomah yang berusia 13 hari kemudian dipindahkan ke kolam nurseri untuk pembesaran lebih cepat disebabkan banyak makanan.

“Jika pembiakan ini berjaya, spesies ikan berkenaan dilepaskan di Empangan Triang di Simpang Durian pada Februari nanti sekali gus menjadikan negeri ini turut mempunyai spesies ikan air tawar berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 6:20 AM