PASAR Serba Serbi antara tarikan TAPAUfest 2022.
PASAR Serba Serbi antara tarikan TAPAUfest 2022.


Lebih 3,000 pengunjung ke TAPAUfest 2022 di Tasik Raban, Lenggong, Perak, baru-baru ini merasai pengalaman baharu dengan kurasi muzik dan seni berlatarkan nuansa alam.

Pengunjung dari pelbagai latar belakang sama ada kaki seni, 'rockers' dan pencinta alam serta keluarga, masing-masing mengisi masa dengan bersantai, berkhemah di samping menikmati keindahan Tasik Raban.

Lenggong juga diiktiraf Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai lokasi bersejarah yang banyak menyimpan sejarah awal penempatan dan tamadun manusia.

Lenggong juga menjadi tempat penemuan rangka Orang Perak berusia 10,000 hingga 11,000 tahun iaitu di Gua Gunung Runtuh.

TAPAUfest 2022 bukan saja menyajikan konsert band indie dari Malaysia, Singapura dan Indonesia, tetapi turut meriah dengan aktiviti seperti Pasar Serba Serbi, Warung dan Bengkel & Layar bersama Kaki Seni, Pasar Serba Serbi yang berinspirasi dari Woodstock menyediakan gerai jualan dengan warna-warna pop seperti pakaian terpakai, cakera padat (CD), piring hitam, kaset, lukisan, kraf dan pilihan muzik daripada DJ Kolektif Disko Santan.

Warung pula menyajikan pelbagai pilihan makanan jalanan tempatan, manakala Bengkel & Layat bersama KakiSeni menampilkan sesi seperti 'Unravelling Lenggong' bersama Khairul Ameer dari Majlis Daerah Lenggong, bengkel 'Wayang Kulit for Dummies' dan tayangan filem pendek.

Konsert atau Pentas dengan tema #SerumpunBerpesta yang bermula pada jam 5 petang dibuka oleh band Feast dari Indonesia.

Ia turut menampilkan band dari Malaysia seperti Margasatwa, Salamusik, The Times, Kungfu Heidi, Serbuk Cheese dan Sweetass.

Selain Feast, band Indonesia yang turut membuat persembahan ialah The Dare dan Hindia, manakala dari Singapura ialah Abangsapau, The Pinholes dan Sobs.

Lebih menarik, pengunjung tidak hanya menikmati muzik, tetapi turut berkelah sambil menikmati pemandangan indah banjaran gunung dan tasik.

Pengasas dan pengarah TAPAUfest, Ahmad Faris berkata, sambutan terhadap program itu tahun ini amat positif.

"Pengunjung, band dan komuniti indie secara amnya dapat merasakan suasana yang baik walaupun sudah pasti ada ruang untuk penambahbaikan. Kami amat bangga kerana semuanya bersatu," katanya.

Ahmad Faris berkata, pihaknya turut berbesar hati dan berterima kasih kepada mendapat sokongan dari Majlis Daerah Lenggong dalam merealisasikan program itu.

Selepas tamat konsert, pengunjung turut bersama-sama membersihkan kawasan sekitar daripada sampah sambil diiringi lagu Hijau nyanyian Datuk Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 6:45 AM