ALAT mengesan cip pada induk betina ikan kelah merah.
ALAT mengesan cip pada induk betina ikan kelah merah.
TELUR ikan yang disenyawakan ditempatkan dalam kolam simen.
TELUR ikan yang disenyawakan ditempatkan dalam kolam simen.
ANAK ikan kelah merah dibesarkan dalam tangki bulat sebelum dilepaskan.
ANAK ikan kelah merah dibesarkan dalam tangki bulat sebelum dilepaskan.
PROSES mengenal pasti induk betina ikan kelah merah yang bertelur dilakukan dengan cara mengurut bahagian perut ikan.
PROSES mengenal pasti induk betina ikan kelah merah yang bertelur dilakukan dengan cara mengurut bahagian perut ikan.
Teks dan gambar Mohd Rafi Mamat


Ikan kelah menjadi ikan sungai kedua termahal di Malaysia selepas empurau kerana berharga antara RM150 hingga RM500 sekilogram di pasaran.

Tidak hairanlah ikan itu menjadi buruan kaki pancing di beberapa sungai yang menjadi habitatnya di seluruh negara terutama di Pahang, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, beberapa faktor terutama pencemaran sungai dan tangkapan berlebihan menyebabkan populasi ikan ini makin berkurangan.

Menyedari masalah itu, sejak tahun 2006, Jabatan Perikanan Pahang membiakkan spesies ikan kelah merah atau nama saintifiknya Tor tambroides di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok (PPAP), Jerantut.

Setakat ini, kira-kira 14,000 benih ikan berkenaan berjaya dihasilkan setiap tahun dan menyasarkan lebih 20,000 benih dihasilkan setahun pada masa depan.

Sejak projek menghasilkan benih raja sungai atau nama saintifiknya Tor tambroides itu dimulakan pada 2006, pusat itu berjaya mengeluarkan kira-kira 51,741 ekor anak kelah merah bernilai lebih RM258,000.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Adnan Hussain berkata, jumlah kelah merah yang makin berkurangan di sungai dan tasik utama di negara ini menjadi pencetus kepada usaha menghasilkan benih spesies ikan berkenaan.

Beliau berkata, usaha menambah pengeluaran benih kelah merah giat dilakukan PPAP dan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini lebih 4,000 ekor berjaya dihasilkan.

“Kini ada 1,000 induk betina dan jantan kelah merah berusia antara dua hingga lima tahun yang mampu menjalani proses pembiakan cara aruhan dalam makmal sebanyak tiga kali setahun.

“Beberapa faktor seperti persekitaran, suhu, air dan kesesuaian menjadi penyebab peratus kejayaan pembiakan cara aruhan yang dilakukan sejak 2006 hanya mencapai 80 peratus.

“Induk betina kelah merah yang tidak dapat menghasilkan telur dengan banyak turut membataskan usaha PPAP menambah pengeluaran benih. Ada induk hanya mampu menghasilkan tiga hingga lima biji telur,” katanya ketika melakukan lawatan ke PPAP, baru-baru ini.

Adnan berkata, telur yang disenyawakan akan menetas selepas tiga hari berada dalam tangki khas. Anak kelah merah akan berada dalam tangki makmal hingga berusia setahun sebelum dilepaskan ke beberapa sungai utama di Pahang.

“PPAP muncul pengeluar tunggal benih kelah merah di negara ini. Walaupun peratus kejayaan pembiakan spesies itu lebih rendah berbanding ikan air tawar lain, usaha itu perlu terus dilakukan.

“Jabatan tidak mengedarkan benih kelah merah kepada individu, sebalik­nya melepaskan ke perairan umum membabitkan beberapa sungai utama seperti Sungai Pahang di Pekan, Sungai Belat di Kuantan dan Sungai Tembeling di Jerantut.

“Rekod jabatan mendapati hanya satu syarikat di Raub terbabit dengan aktiviti menghasilkan benih kelah merah, namun sejauh mana kejayaan tidak dapat dipastikan.

Sementara itu, Ketua PPAP Mohd Fariz Abdul Kadir berkata, semua induk kelah merah ada maklumat kerana cip ditanam cip dalam badan sebagai rujukan dan keselamatan.

Katanya, bagi menambah jumlah induk spesies ikan berkenaan, pihaknya terpaksa membeli anak kelah merah bersaiz 2.5 sentimeter daripada pembekal dengan harga RM15 hingga RM20 seekor.

“Anak kelah merah akan ditempatkan dalam kolam tanah dengan penjagaan rapi dengan memberi makan palet dan apabila mencapai usia matang dengan berat sekilogram hingga lima kilogram proses pembiakan akan dilakukan.

“Sebelum proses pembiakan dilakukan, pemilihan induk jantan dan betina perlu dilakukan. Ada beberapa ciri induk pada betina seperti pipinya lebih lembut dan licin apabila dipegang berbanding induk jantan.

“Induk jantan dan betina akan ditempatkan dalam tangki berbeza bagi memudahkan suntikan hormon yang berbeza dilakukan. Selepas 10 jam, proses mengeluarkan telur dari induk betina dan sperma dari induk jantan boleh dilakukan.

Mohd Fariz berkata, selepas telur dan sperma disenyawakan, telur akan ditempatkan di atas dulang jaring halus dalam tangki. Dalam tempoh tiga hari telur akan menetas dan menghasilkan anak kelah atau rega.

“Selain kelah merah, PPAP turut menumpukan kepada usaha menghasilkan benih beberapa spesies ikan air tawar lain seperti patin, lampam sungai, temoleh, keli, tilapia merah dan kerai.

“Kami turut menyediakan kursus dan latihan jangka pendek kepada individu yang berminat menceburi industri pengeluaran benih ikan air tawar membabitkan beberapa spesies seperti kelah merah, patin, tilapia merah dan temoleh,” katanya.

Menurutnya, diharapkan kejayaan itu dapat menampung permintaan benih ikan terutama kelah merah yang sentiasa bertambah setiap tahun.

“Hampir setiap tahun kita membeli anak ikan kelah untuk dijadikan induk terutama selepas induk yang ada mati selain peratus kesuburan makin menurun.

“Induk yang mencapai berat antara sekilogram hingga lima kilogram selain aktif dan tidak berpenyakit saja sesuai dijadikan induk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 5:45 AM