DEPLANCK (tengah) beramah mesra dengan penghuni Rumah Juara.
DEPLANCK (tengah) beramah mesra dengan penghuni Rumah Juara.
Intan Mas Ayu Shahimi


Dari jauh sudah kedengaran gelak ketawa ceria anak Rumah Juara. Masing-masing nampak tidak sabar menanti sambutan Krismas bermula hinggakan riuh-rendah ruang depan pasar raya Cold Storage Sunway Putra Mall dengan pelbagai gelagat mencuit hati.

Tidak kira lelaki atau perempuan, semuanya sibuk beratur menunggu wajah dilukis cantik. Ada yang memilih tema adiwira terkenal, tidak kurang juga yang memilih tema animasi popular Frozen, sinonim dengan sambutan Krismas. Kehadiran Santa Claus melengkapkan sambutan.

Ternyata majlis kecil anjuran Cold Storage memberi makna cukup besar buat 40 penghuni Rumah Juara. Mereka bukan sahaja gembira meraikan Krismas, tetapi begitu ceria saat menyambut hadiah besar yang disediakan penganjur.

Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail Malaysia Sdn Bhd, Pierre Olivier Deplanck berkata, pihaknya teruja berkongsi kemeriahan dengan anak kurang bernasib baik sempena Krismas tahun ini.

Kehadirannya bukan setakat menyampaikan hadiah dan sumbangan bernilai RM20,000 kepada kanak-kanak dan Rumah Juara, tetapi turut meluangkan masa beramah mesra, melayan pelbagai kerenah serta menyajikan ayam piru sebagai simbolik sambutan Krismas 2016.

“Tidak kira sama ada Krismas, Tahun Baru Cina, Aidilfitri atau Deepavali, GCH Retail komited berkongsi kemeriahan sambutan perayaan bersama orang ramai. Kita percaya seperti tahun sebelum ini, Krismas membawa nilai kasih sayang dan kebersamaan untuk dikongsi bersama.

“Oleh itu inilah masa untuk kita tunjukkan kasih sayang dan memberi kepada golongan kurang bernasib baik. Kita harap, inisiatif kecil ini akan memahat kenangan indah buat setiap anak yang diraikan,” katanya.

Selepas mengagih hadiah, kanak-kanak dibawa ke ruang bakeri untuk menikmati sajian ayam piru panggang dan pelbagai manisan enak. Kemudian, seorang demi seorang dipimpin masuk ke pasar raya untuk mencari barang idaman yang boleh ditukar dengan baucar RM50 pemberian Cold Storage. Dari mata kasar, kanak-kanak kecil lebih tertumpu kepada bahagian coklat dan makanan, sementara yang remaja mencari keperluan diri.

“Pada kami, melaksanakan tanggungjawab sosial korporat bukan hanya dengan membelanjakan sejumlah wang, tetapi lebih kepada sumbangan hati ke hati. Kami mahu menyelami perasaan kelompok yang dibantu sekali gus mengenali kehendak mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 5:38 AM