Syafil Syazwan Jefri


Kehadiran Krismas umpama detik terindah buat penyanyi terkenal Jaclyn Victor berehat, selain mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Pelantun lagu Gemilang yang mesra disapa Jac berkongsi keterujaan dua cahaya matanya, Jonah Joshiah Rivera dan Molly Marguerite Rivera menyambut perayaan itu.

"Persiapannya seperti biasa, lebih kepada anak-anak. Sejak November lagi, mereka sudah teruja untuk mencari pokok Krismas.

"Senang cerita, mereka memang sangat teruja bila bercerita mengenai sambutan hari Krismas ini.

"Memang itu menjadi kebiasaan untuk kanak-kanak. Bahkan, ketika saya masih kanak-kanak pun, kemeriahan sambutan hari Krismas berkaitan dengan hadiah dan makanan.

"Mereka tak faham lagi erti sebenar sambutan hari Krismas. Untuk saya pula, sambutan Krismas masa paling sesuai bertemu keluarga dan sanak saudara," katanya.

Ditanya erti sebenar Krismas Jac berkata, ia bersifat lebih matang dan baginya, sambutan itu bagi mengukuhkan lagi kepercayaannya sebagai penganut Kristian.

"Saya rasa, mungkin orang selalu berfikir Krismas itu hanya berkaitan 'Santa Klaus', hadiah dan sebagainya. Mereka lupa erti sebenar Krismas itu, di mana memperingati kelahiran Jesus Christ.

"Mungkin ini bukan tarikh hari jadi sebenar, tapi, sebagai Kristian, saya raikan perayaan memperingatinya.

"Kadang kala, fokus itu sudah lari dalam kalangan orang yang menyambut Krismas kerana ia sudah terlalu dikomersialkan," katanya.

Berbicara mengenai rutin Krismas, Jac berkata, rutinnya sama seperti individu lain yang meraikan perayaan itu.

"Rutin hari Krismas saya selalunya pergi ke gereja, kemudian balik ke rumah untuk makan-makan dan selepas itu sesi membuka hadiah.

"Kalau bercakap mengenai makanan, saya tak pandai memasak. Tetapi, ibu saya suka sediakan pelbagai juadah antaranya ayam panggang, ayam belanda, salad kentang dan sebagainya.

"Yang saya suka sambutan Krismas itu kini sudah bercampur dengan budaya tempatan di negara kita," katanya.

SUDAH 20 tahun berkecimpung dalam industri.
SUDAH 20 tahun berkecimpung dalam industri.

Krismas datang dikatakan lebih awal buat Jac selepas namanya diumumkan sebagai juara All Stars Gegar Vaganza baru-baru ini, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM200,000.

"Boleh saya katakan Krismas 'datang awal' pada hari saya diumumkan sebagai juara ASGV. Pada masa sama, saya juga bersyukur atas kemenangan itu.

"Namun saya tak merasakan kehidupan saya berubah secara drastik. Saya masih lagi orang yang sama dan menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Tambah penyanyi berusia 45 tahun itu lagi, keutamaannya untuk menjaga kewangan bagi memastikan masa hadapan anak berjalan lancar.

"Sebagai penyanyi di dalam industri muzik tanah air, tak semestinya jangka hayat kita panjang.

"Kita takkan boleh bernyanyi sebaik mana kita pernah lakukan ketika usia muda. Akan ada kitaran dalam usia kerjaya dan kemampuan kita.

"Kerana itu saya cuba sebaik mungkin menyimpan wang dan mengurus kewangan demi anak-anak saya.

"Apa yang mampu saya lakukan cuba untuk kekalkan tahap kerjaya saya untuk mencari rezeki buat mereka,"

katanya.

Bahkan, hadiah kemenangan itu juga turut dimasukkan ke akaun anak-anaknya.

"Memang duit kemenangan saya dari pertandingan sebelum ini pun, saya simpan untuk anak.

"Mereka masih kecil dan banyak perkara ingin mereka lakukan termasuk berkaitan dengan pendidikan," katanya.

Tahun 2024 bakal menyaksikan Jac merealisasikan pelbagai rancangan untuk karier seninya antaranya album dan konsert solo.

"Tahun hadapan, genap 20 tahun kewujudan saya dalam industri muzik selepas menyertai Malaysian Idol. Akan ada album yang saya keluarkan pada tahun hadapan.

"Saya ada rancang untuk mengadakan konsert solo juga. Gembira saya lihat industri kita berkembang dengan pelbagai penganjuran konsert dan ia adalah satu perkembangan positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 6:00 AM