TIGA jenis hidangan ayam piru menarik disediakan di Hotel Novotel sempena sambutan Krimas kali ini.
TIGA jenis hidangan ayam piru menarik disediakan di Hotel Novotel sempena sambutan Krimas kali ini.

Kemeriahan hari perayaan sememangnya dipenuhi dengan pertemuan sesama sanak-saudara dan sahabat-handai.

Pada masa sama, pelbagai hidangan disediakan untuk dinikmati bersama dan ada segelintir menjamu tetamu dengan mengadakan rumah terbuka.

Bagi sambutan Hari Natal dan cuti hujung tahun ini, apa kata ubah selera dengan membawa tetamu menikmati hidangan tradisional Krismas di Hotel Novotel, Kuala Lumpur.

Rasai kelainan masakan di hotel ini yang menyediakan hidangan ayam piru atau lebih dikenali ayam belanda yang menerima sedikit olahan agar bersesuaian dengan selera tempatan.

Untuk sambutan tahun ini, Cef Saravanan Subramaniam dan pasukannya menyediakan tiga jenis hidangan ayam piru iaitu panggang yang ditumis-reneh dan disumbat bersama pilihan sos BBQ, cendawan serta lada hitam.

“Berbeza dengan tahun sebelumnya, hidangan kali ini berteraskan sajian dari Itali, Perancis dan Sepanyol dengan konsep bufet Amerika Syarikat.

“Tiga jenis hidangan ayam piru itu bukan saja memberikan kelainan daripada hidangan yang biasa dinikmati ketika Krismas tetapi memberikan pengalaman gastronomi baru kepada pengunjung.

“Bagi pengunjung yang tidak biasa dengan hidangan ini, kami olah sedikit ramuannya terutama pada pilihan sos agar menepati cita rasa tempatan,” katanya.

Selain ayam piru sebagai tarikan utama, beberapa hidangan istimewa juga menarik untuk dicuba. Kebanyakan hidangan menggunakan bahan segar dan diimport terutama dari Eropah dan Australia.

Hidangan ikan salmon yang dibawa dari Norway dimasak pada suhu rendah lalu dicampur herba dan rempah yang menjadikannya enak dinikmati dengan sos cendawan hitam shitake.

Peminat kambing tidak dilupakan di mana sajian kambing panggang pasti membangkitkan selera.

Tidak lengkap sambutan Krismas tanpa hidangan manis antaranya strudel epal Jerman, kek coklat berceri, kek Black Forest, eclair coklat, trifle labu gingerbread dan mousse lemon.

Promosi bufet Hari Natal ini berharga RM95 untuk dewasa dan RM47.50 bagi kanak-kanak di bawah usia 12 tahun. Layari www.novotelklcitycentre.com atau e-mel ke [email protected] untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 5:22 AM