ASHDOWN (dua dari kanan) bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kanan) melawat pusat pengagihan GCH Retail.
ASHDOWN (dua dari kanan) bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kanan) melawat pusat pengagihan GCH Retail.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Sepang: GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd pengendali pasar raya Giant akan memulakan operasi pusat pengedaran fasa kedua pada 1 April 2016.

Pengarah Rantau untuk Malaysia dan Brunei, Datuk Tim Ashdown berkata, pusat pengedaran berkenaan yang terletak di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dijangka menawarkan lebih 200 peluang pekerjaan dalam sektor logistik.

“Pusat pengedaran ini yang dilengkapi teknologi terkini dijangka mampu mengurangkan kos logistik untuk pembekal sehingga 50 peratus,” katanya selepas majlis perasmian oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam.

Menurutnya, pusat pengedaran itu akan mempermudahkan proses rantaian bekalan yang secara tidak langsung membantu meningkatkan keupayaan Giant dalam tempoh 12 tahun akan datang.

“Ia juga dijangka dapat membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk memasarkan produk mereka dengan lebih berkesan.

“Malah, kami juga meletakkan sasaran mempamerkan sehingga 20 peratus produk daripada jenama tempatan menjelang akhir tahun berbanding 15 peratus ketika ini,” katanya.

Fasa kedua pusat pengedaran seluas 155,000 kaki persegi itu dijangka mampu mengendalikan tambahan jumlah produk sehingga dua juta setiap minggu, berbanding hanya 700,000 produk setiap minggu ketika ini.

Penambahan pusat pengedaran ini juga membantu meningkatkan jumlah eksport ke Singapura dan Kemboja sama ada produk di bawah jenama Giant atau produk antarabangsa yang dihasilkan di Malaysia.

Setakat ini, terdapat tiga lagi pusat pengedaran GCH Retail iaitu di Balakong, Kuching dan Kota Kinabalu, Sabah. Selain Giant, GCH Retail turut mengendalikan Cold Storage, Mercato dan Jason’s Food Hall.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 6:55 AM