Oleh Shamsul Munir Safini

Kangar: Keadaan banjir di negeri ini dilihat semakin pulih berikutan keadaan cuaca yang baik sejak, semalam, selain keadaan paras air di Empangan Timah Tasoh yang berada di paras normal.

Sehingga tengah hari ini, hanya tiga pusat pemindahan masih beroperasi dengam menempatkan 195 mangsa daripada 63 keluarga di situ.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri juga memberitahu bhawa pihaknya sudah menutup dua daripada enam pintu empangan, di sini, selepas paras air kembali normal.

Sehingga ini, paras air di Empangan Timah Tasoh yang direkodkan ialah 29.04 meter (m) berada di paras normal berbanding paras bahaya 29.6 m.

Sementara itu, Sungai Kampung Bakau berada di paras berjaga-jaga dengan bacaan 3.01m berbanding paras bahaya 3.5m dan sungai yang berada di paras amaran ialah di Sungai Repoh dengan bacaan 4.45m berbanding paras bahaya 4.6m.

Sementara itu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mencemar duli melawat beberapa PPS di negeri ini pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 2:15 PM