Kawasan tanah tinggi dalam Empangan Timah Tasoh timbul ketika tinjauan semalam, berikutan paras air empangan itu merosot teruk. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Kawasan tanah tinggi dalam Empangan Timah Tasoh timbul ketika tinjauan semalam, berikutan paras air empangan itu merosot teruk. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
BERNAMA

Kangar: Paras air di Empangan Timah Tasoh meningkat 0.13 meter kepada 22.23 meter setakat 2 petang tadi, selepas hujan yang agak lebat petang semalam.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis Abdul Najib Abdullah bagaimanapun berkata, paras itu berada pada tahap membimbangkan kerana masih jauh berbanding paras normal.

"Hujan yang agak lebat petang semalam menunjukkan perkembangan positif walaupun hanya 30 minit. Kita berharap hujan kembali mencurah di kawasan empangan dalam masa sehari dua ini,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Perlis (SAP) Abd Hamid Sahid berkata, pihaknya masih meneruskan catuan air di enam

kawasan penempatan iaitu pengurangan sebanyak 16 peratus pengeluaran air setiap hari.

Catuan itu membabitkan kawasan di utara Perlis dari Wang Kelian, Kaki Bukit, Titi Tinggi, Beseri dan Abi membabitkan 13,000 pengguna domestik sejak Sabtu lalu.

“Jika paras air di Empangan Timah Tasoh terus meningkat setiap hari selepas hujan, kita pertimbangkan keputusan catuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 8:11 PM