Paras air Empangan Timah Tasoh naik ke paras bahaya ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu. Foto Azhar Ramli
Paras air Empangan Timah Tasoh naik ke paras bahaya ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu. Foto Azhar Ramli
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


EMPAT daripada enam pintu Empangan Timah Tasoh di Padang Besar dibuka berikutan jumlah takungan air melebihi paras bahaya ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu dan dijangka berlarutan sehingga esok.

Pengarah Jabatan Perparitan dan Saliran Perlis, Ir Abdul Najib Abdullah berkata, empat pintu berkenaan dibuka bagi mengalirkan air sejak dua hari lalu bertujuan mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Empat pintu empangan itu terpaksa dibuka bagi memastikan paras air dalam empangan kembali normal.

"Sehubungan itu kita memohon maaf kepada penduduk di beberapa kawasan berikutan pembukaan pintu empangan terbabit.

"Saya difahamkan penduduk di Kampung Padang Malau terjejas dan dimaklumkan air naik sehingga ke dalam rumah.

"Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku berikutan pembukaan pintu empangan terbabit," katanya dihubungi.

Sementara itu, tinjauan di Kampung Padang Malau mendapati kawasan terbabit tidak terjejas teruk dan hanya 10 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri.

Penduduk kampung Nordin Saat, 64, ketika ditemui berkata, ada beberapa rumah yang dimasuki air pada paras 0.1 meter.

"Kawasan di kampung ini selalunya akan banjir jika pintu empangan dibuka cuma pada kali ini sudah ada beberapa rumah yang dimasuki air.

"Beberapa keluarga berpindah kerana risau rumah mereka teruk dinaiki air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 2:52 PM