Agensi

Baitulmaqdis: Parlimen Israel semalam meluluskan undang-undang yang mengesahkan puluhan kediaman Yahudi yang dibina di tanah milik peribadi rakyat Palestin di Tebing Barat.

Undang-undang itu yang diluluskan dengan sokongan 60 anggota Parlimen berbanding 52 yang menentang, dikecam oleh rakyat dan pihak berkuasa Palestin yang menyifatkannya sebagai tindakan ‘menghalalkan pencurian’ tanah mereka.

Perdana Menteri rejim Israel, Benjamin Netanyahu yang tidak mengundi kerana berada di London berkata, dia memaklumkan kepada pentadbiran Presiden Donald Trump supaya ‘rakan kami’ tidak terkejut.

Bercakap selepas undang-undang itu diluluskan, pemimpin parti pelampau Yahudi - Jewish Home - Bezalel Smotrich mengucapkan terima kasih kepada rakyat Amerika Syarikat kerana memilih Trump menjadi presiden.

“Tanpa Trump, undang-undang ini tidak mungkin dapat diluluskan,” katanya.

Undang-undang itu akan membolehkan Israel secara sah merampas tanah milik penduduk Palestin selepas rakyat Israel membina rumah tanpa mengetahui ia milik peribadi atau kerana kerajaan membenarkan mereka berbuat demikian.

Kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch berkata, undang-undang itu menggambarkan sikap bongkak Israel yang tidak mempedulikan undang-undang antarabangsa serta hasrat mereka untuk menjajah secara tetap Tebing Barat.

Kumpulan berhaluan kanan Israel, B’Tselem pula menyifatkan undang-undang itu membuktikan Israel tidak mempunyai hasrat untuk menamatkan penguasaannya terhadap rakyat Palestin atau berhenti mencuri tanah mereka.

Undang-Undang antarabangsa menganggap semua penempatan yang dibina di tanah milik Palestin sebagai haram.

Undang-undang yang diluluskan Parlimen Israel itu masih boleh dicabar dengan Menteri Pertahanan, Avigdor Lieberman berkata minggu lalu: “Peluang ia ditolak oleh Mahkamah Agung ialah 100 peratus.”

Peguam Negara, Avichai Mandelblit memberi amaran kepada rejim itu, undang-undang itu bertentangan dengan perlembagaan dan Israel boleh didakwa atas tuduhan jenayah perang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 8:25 AM