RUMAH Melaka ada banyak tingkap.
RUMAH Melaka ada banyak tingkap.
TANGGA batunya yang bersalut jubin memperlihatkan pengaruh seni bina Cina.
TANGGA batunya yang bersalut jubin memperlihatkan pengaruh seni bina Cina.
myMetro

Rumah tradisional Melayu asli di negeri bersejarah ini dikenali sebagai rumah Melaka dengan bentuk bumbung panjang.

Pada bentuk bumbungnya juga terdapat unsur seni bina Bugis, Jambi, Riau dan Minangkabau. Tangga batunya yang bersalut jubin memperlihatkan pengaruh seni bina Cina.

Biarpun pelbagai tafsiran dibuat mengenai pembinaan asas rumah tradisional ini, strukturnya adalah sama.

Sama ada jenis perabung panjang (bumbung panjang), rumah bujang, rumah tiang dua belas, rumah Minangkabau, rumah limas, rumah baju kurung, rumah bumbung Perak, rumah kutai atau rumah serambi Melaka, ciri-ciri asas dan elemen utamanya adalah sama.

Mempunyai tiang berlapik batu, bumbung curam, berloteng, dapur di bahagian belakang, tangga di bahagian hadapan dan bahan binaan yang sama.

Perbezaan ketara adalah pada bentuk bumbung, perabung dan jumlah tiang utamanya.

Di Melaka terdapat dua jenis rumah tradisional iaitu jenis rumah serambi atau rumah Melaka atau rumah bumbung Melayu dan jenis rumah perabung limas atau bumbung limas.

Rumah Melaka mempunyai tiga jenis, yang terkecil dinamakan rumah bujang iaitu struktur bangunannya terdiri daripada enam batang tiang utama.

Jenis sederhana dinamakan rumah berbandung dua, terdiri daripada dua belas batang tiang utama.

Sementara jenis yang terbesar dinamakan rumah berbandung tiga terdiri daripada 16 batang tiang utama.

Rupa bentuk fizikal rumah Melaka dapat diperjelaskan sama ada secara menegak atau melintang.

Secara menegak bentuk rumah Melaka dapat dibahagikan kepada tiga penggalan iaitu penggalan tiang, penggalan badan dan penggalan bumbung.

Sementara secara melintang, terdiri daripada unit komponen iaitu ruang serambi dan anjung, ibu rumah dan rumah dapur.

Di antara ibu rumah dan dapur dipisahkan selang atau pelantar. Penggalan tiang bermula daripada pangkal tiang hingga ke paras lantai.

Kayu tiang dipilih daripada jenis yang baik supaya tidak mudah dirosakkan serangga. Biasanya tiang rumah dibuat daripada kayu kempas, cengal, merbau atau damar laut.

Tiang dilapik dengan batu alas sementara struktur penting pada penggalan tiang adalah kayu rasuk dan gelegar.

Kayu rasuk dikenali sebagai rasuk panjang dan rasuk pendek. Seterusnya kayu yang panjang dihubungkan dari tiang ke tiang melalui lubang pada tiang.

Penggalan tiang juga mempunyai kayu gelegar disusun berbaris di atas rasuk panjang.

Cara susunan adalah melintang atas rasuk pendek. Di atas rasuk pendek dan gelegar itulah disusun papan lantai.

Sementara bendul pula antara perhiasan pada bangunan. Ia antara kayu kerangka yang memberi ketahanan pada struktur bangunan.

Pintu dan tingkap menjadi sebahagian daripada dinding. Rumah Melaka menggunakan beberapa pintu iaitu pintu hadapan rumah, pintu di pelantar (selang) dan pintu di belakang rumah.

Tingkap juga sebahagian dinding yang boleh dibuka tutup dan berfungsi untuk pengedaran udara serta pencahayaan.

Rumah Melaka ada banyak tingkap yang dibuka ke arah luar. Jika tingkap memanjang ke lantai, di bawahnya dipasang kisi-kisi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 5:01 AM