PENGADANG anjung Villa Warisan J A yang turut menggunakan kayu sarat berukir.
PENGADANG anjung Villa Warisan J A yang turut menggunakan kayu sarat berukir.
DILIHAT dari depan dua bangunan kelihatan berasingan, tapi bahagian belakang bersambung dengan binaan teduhan.
DILIHAT dari depan dua bangunan kelihatan berasingan, tapi bahagian belakang bersambung dengan binaan teduhan.
PERGOLA meneduhkan laluan sepanjang vila.
PERGOLA meneduhkan laluan sepanjang vila.
Teks dan gambar Rashidah Ibrahim

Bangunan seni bina tradisional dengan ukiran penuh berseni tampil gah mencuri perhatian pengunjung.

Dikenali Villa Warisan J A, kompleks rumah makan dan penginapan di Johor Bahru, Johor itu ternyata mempunyai kelainan tersendiri.

Terletak di Jalan Abdul Rahman Andak, Off Jalan Drapper, landskapnya dilengkapi gerbang mercu tanda yang menjadi pengenalan kepada lokasi tempat berkenaan. Gerbang tinggi daripada kayu itu meraikan kedatangan setiap tetamu ke situ.

Melangkah masuk ke kawasan itu, bangunan berlainan reka bentuk, masing-masing dikuasai ciri tradisional dan berhias ukiran penuh seni, sedia menanti tetamu.

Menurut Pengarah Villa Warisan J A Zuraida Zakaria, lokasi itu menempatkan beberapa bangunan yang saling bersambung oleh laluan berbumbung.

Pemiliknya, Muhd Johar Arif, menzahirkan impiannya untuk membina rumah tradisional sarat berukir itu pada 2012, selepas 30 tahun mengusahakan perniagaan sewa khemah.

“Sebagai pengusaha khemah, Muhd Johar kerap ke Jepara, Indonesia untuk menempah kerusi kayu untuk disewa.

“Ini membuatkan dia jatuh hati dengan kayu ukir dan mula membeli untuk kegunaan di rumah sendiri.

“Kemudian timbul keinginan untuk membina rumah tradisional seperti ini,” kata Zuraida.

Berdiri di depan, kelihatan dua bangunan utama. Sedikit ke kanan ialah bangunan berlantai panggung daripada kayu sepenuhnya, dibina mengunjur ke belakang berasaskan rumah tradisional Jawa.

Ia mempunyai tangga tinggi, menghubungkan tanah dengan lantai. Ketinggiannya melebihi paras kepala orang dewasa, membolehkan kawasan bawah dijadikan tempat letak kereta. Sementara dinding dan daun pintu, indah berukir.

“Di dalamnya dijadikan tempat makan, setiap pintu dibina berbendul iaitu mengikut ciri rumah Jawa,” katanya.

Bangunan itu berkeadaan mengunjur ke belakang sementara tangga menghadap ke bahagian sisi.

Sebuah lagi dibina menghadap ke hadapan iaitu bangunan utama yang dinamakan vila yang memperlihatkan kombinasi bahan binaan batu dan kayu serta berdinding konkrit.

Penggunaan kayu pada binaan tiga ini dikhususkan pada seluruh lantai, daun pintu dan tingkap serta tangga.

Menghayati seni binaan vila dan rumah tradisional berkenaan secara dekat, banyak boleh diperkatakan.

Kedua-dua bangunan memperlihatkan reka bentuk berbeza pada bahagian bumbung.

Bangunan tradisional Jawa ini diteduhi bumbung perabung panjang bertingkat dan teranjak.

Jarak atau lubang di antara dua lapisan bumbung berfungsi sebagai laluan angin, sekali gus memberi kesan pengudaraan semula jadi di dalam kediaman.

Vila pula menampilkan bentuk bumbung persegi dengan tulang perabung sedikit melentik.

Lapisan bumbung juga dibina bertingkat dan mempunyai lubang angin. Tangganya jenis bukan lopong dan lebih selamat.

Bangunan vila itu bersambung dengan tiga ruang makan dikenali Kafe Anjung, Kafe Astaka dan Gabiok yang separuh terbuka.

Terlindung di belakang ialah bangunan calet berlantai panggung bertangga rendah yang lengkap dengan ukiran.

Menurutnya, bukan saja pengunjung tempatan yang teruja melihat bangunan tradisional berukir ini, bahkan pengunjung dari luar negara seperti Jepun, Korea dan Amerika Syarikat, lebih-lebih lagi kagum melihat seni ukirannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:02 AM