BAYI, Rouh yang dilahirkan ibunya nazak dan meninggal dunia di Gaza. FOTO Reuters
BAYI, Rouh yang dilahirkan ibunya nazak dan meninggal dunia di Gaza. FOTO Reuters
Agensi

Gaza: Seorang bayi perempuan dilahirkan dalam kelahiran luar biasa dari rahim wanita Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel di bandar Rafah, hanya sempat hidup lima hari.

Bayi yang dilahirkan pada 20 April lalu ketika ibunya Sabreen Al-Sakani nazak di hospital Gaza disahkan meninggal dunia pada Khamis oleh doktor yang menjaganya.

The Independent melaporkan bayi diberi nama Rouh yang bermaksud jiwa itu mengalami masalah pernafasan dan sistem imun lemah.

Ketua Unit Neo-natal Kecemasan di Hospital Emirati, Dr Mohammad Salama berkata dia dan doktor lain cuba menyelamatkan.

"Tetapi dia meninggal dunia. Bagi saya secara peribadi, ia adalah hari sangat sukar dan menyakitkan.

"Bayi itu dilahirkan semasa sistem pernafasannya belum matang dan sistem imunnya sangat lemah. Itulah yang menyebabkan kematiannya. Dia menyertai keluarganya yang lain sebagai syahid," katanya.

Selain ibunya, ayah dan kakak bayi itu turut terbunuh dalam kegilaan rejim zionis Israel bertindak kejam membedil rumah di bandar Rafah.

Bayi berkenaan lahir secara pembedahan dengan berat 1.4 kilogram (kg), ketika ibu bayi itu yang nazak dan mengandungkannya selama 30 minggu sempat dibedah sebelum meninggal dunia.

Selepas kelahiran, bayi itu diletakkan dalam inkubator di hospital Rafah bersama bayi lain, dengan perkataan 'bayi syahid Sabreen Al-Sakani' dilekatkan pada dadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 11:53 AM