AIDIL bersama pingat gangsa yang dimenangi dalam acara 200m di kejohanan Kejohanan Olahraga Asia bawah 20 tahun (B-20) di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE). FOTO JUMAIN TAEPE
AIDIL bersama pingat gangsa yang dimenangi dalam acara 200m di kejohanan Kejohanan Olahraga Asia bawah 20 tahun (B-20) di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE). FOTO JUMAIN TAEPE
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Barisan atlet muda negara terus melakar kejayaan di Kejohanan Olahraga Asia bawah 20 tahun (B-20) di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan kali ini menerusi Pengiran Aidil Auf Hajam yang menghadiahkan gangsa kedua buat kem olahraga negara dalam acara 200 meter (m) lelaki.

Aidil melepasi had kelayakan ke Kejohanan Olahraga Dunia B-20 di Lima, Peru Ogos ini memperbaiki catatan peribadi yang dilakukan dalam aksi separuh akhir apabila menamatkan larian dengan masa 21.28s.

Atlet kelahiran Sabah itu bagaimanapun terpaksa akur gagal menyaingi kepantasan pelari Thailand, Wirayut Daenkhanob, 20.84s dan Hong Kong, Magnus Prostur Johannsson 20.92s, masing-masing meraih emas dan perak.

Bagi jurulatihnya, Jumain Taepe, kejayaan Aidil meraih pingat gangsa adalah satu pencapaian yang membanggakan kerana ia adalah kali ketiga Aidil meraih pingat itu di kejohanan bawah umur di peringkat Asia.

"Sebelum bertanding kami hanya merancang untuk mencatat masa terbaik peribadi yang baharu.

"Dalam masa sama, saya berpesan kepada Aidil, jika mahukan pingat gangsa, perlu kalahkan atlet Thailand iaitu Nuansi (Sarawat Nuansi) kerana Daenkhanob dan Johannsson terlalu bagus untuk di saingi," kata Jumain ketika dihubungi.

Terdahulu Ng Tak Sing menyumbangkan gangsa pertama negara dalam acara lompat kijang. Dia turut berjaya melepasi melepasi had kelayakan ke kejohanan dunia iaitu 15.50 meter (m) selepas melakukan lompatan 15.62m.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard mengesahkan seorang lagi pelari negara, Hanssen Yap dalam acara 100m turut melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Dunia B-20, menjadikan tiga atlet kini layak ke kejohanan itu.

"Hanssen gagal menyumbang pingat kepada negara namun berjaya mencatat masa 10.41s di separuh akhir 100m lelaki," katanya.

Catatan Hanssen itu melepasi had kelayakan 10.55s yang ditetapkan untuk atlet beraksi di Lima.

Justeru, selain Hanssen, Aidil dan Ng Tak Sing melengkapkan trio remaja negara layak beraksi di Lima Ogos nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 11:42 AM