SITI Aisyah (kiri) memegang Jalur Gemilang dan panji TLDM selepas pengebumian Allahyarham Mohammad Amirulfaris di Tanah Perkuburan Islam Senawang, 24 April lalu. FOTO Azrul Edham
SITI Aisyah (kiri) memegang Jalur Gemilang dan panji TLDM selepas pengebumian Allahyarham Mohammad Amirulfaris di Tanah Perkuburan Islam Senawang, 24 April lalu. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi


Seremban: April sepatutnya menjadi bulan istimewa buat keluarga Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, namun bertukar menjadi tarikh duka.

Perkara itu diluahkan menerusi hantaran di Facebook milik Siti Aisyah Mohd Roslan, isteri kepada pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, 23 April lalu.

Menurut Siti Aisyah, banyak tarikh istimewa pada bulan April termasuk hari ulang tahun kelahirannya pada 25 April lalu dan ulang tahun perkahwinan mereka.

"Setiap kali bulan April, sayang mesti suka sebab abang lahir 3 April, ulang tahun perkahwinan ibu dan ayah abang 3 April, ibu abang lahir 5 April, ulang tahun perkahwinan kita 15 April, Affan lahir 21 April.

"Lepas ni, bertambah satu tarikh duka untuk sayang dan anak-anak abang... 23 April 2024 hari pemergian Abang untuk selama lamanya," luahnya menerusi media sosial itu pada hari kelahirannya yang lalu.

Siti Aisyah juga mencoret selepas ini tiada lagi ucapan terima kasih daripada suaminya itu setiap kali dia melakukan sesuatu dan mengakui ucapan itu membuatkan dirinya rasa dihargai.

"Mulut Abang tak pernah lekang dengan ucapan terima kasih. Terima kasih Abang tu selalu buat sayang rasa dihargai... Sekarang sayang pula nak ucapkan terima kasih kat Abang," luahnya.

Wanita itu turut meluahkan yang dia kini redha dengan pemergian Allahyarham dan sentiasa kuat untuk meneruskan hidup serta menjaga anak.

Pada 23 April lalu, negara dikejutkan dengan nahas yang berlaku ketika raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM.

'Wahai wira, wirawati...kamu menggadaikan nyawa demi tanah air tercinta' - Panglima TLDM

Semua 10 jenazah mangsa nahas helikopter selamat disemadikan

Kira-kira 500 beri penghormatan terakhir kepada Mohammad Amirulfaris

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 11:44 AM