myMetro

Rumah kutai adalah rumah tradisional Melayu di Perak. Ia banyak terdapat di kawasan berhampiran tebing sungai negeri itu termasuk di Hilir Perak dan Kuala Kangsar.

Secara umumnya, rumah ini terdiri daripada dua jenis iaitu rumah kutai tiang 12 dan rumah kutai tiang 16.

Kedua-duanya mempunyai struktur yang sama. Bagi rumah kutai tiang 12, rumah ibunya terdiri daripada enam batang tiang panjang dan enam batang tiang serambi naik.

Jika dipandang dari arah hadapan rumah, tiangnya tersusun dalam tiga baris dan masing-masing mempunyai empat batang tiang iaitu dua tiang panjang serta dua tiang serambi sama naik.

Biasanya Rumah Kutai Tiang 12 mempunyai tapak ibu rumahnya dalam bentuk empat persegi tepat sementara rumah kutai tiang 16 masih banyak terdapat di negeri itu.

Struktur bangunan rumah kutai tiang 16 ini masih lagi menggunakan 16 tiang utama iaitu lapan tiang panjang dan lapan tiang serambi sama naik.

Kedudukan tiang-tiangnya ialah empat baris memanjang dan empat baris lebar, tapi keluasan tapaknya tidak berbentuk empat segi bujur sebaliknya empat segi sama.

Reka bentuk rumah kutai banyak dipengaruhi beberapa faktor antara komponen ruang yang lazim seperti ruang serambi, rumah ibu, selang dan rumah dapur.

Serambi

Dikhaskan untuk lelaki dan di situ tetamu lelaki duduk ketika kenduri atau menjalankan pelbagai aktiviti lain. Ketika malam ruang ini digunakan sebagai tempat tidur anak teruna.

Rumah ibu

Pada rumah ibu terdapat ruang serambi dan kadang kala sebuah bilik kecil, tapi ruang bilik hanya wujud kemudian dan dikhaskan untuk bilik anak dara saja.

Selang

Selain menjadi lorong atau tempat laluan di antara kedua-dua bangunan, ia dijadikan tempat berbual atau menjalankan pelbagai aktiviti bagi perempuan.

Rumah dapur

Rumah dapur pula lebih kecil daripada rumah ibu, biasanya berbentuk rumah bujang. Ia digunakan sebagai tempat memasak dan alat keperluan dapur disimpan di situ. Sebuah tangga dan pelantar terdapat di tepinya dari pintu dapur yang berpelantar dan ia sering digunakan kaum ibu untuk ke sungai atau ke perigi bagi pelbagai tujuan termasuk mengambil air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:02 AM