myMetro

Rumah tradisional Terengganu iaitu rumah bujang berselasar (serambi) mempunyai keunikan tersendiri.

Ia biasanya diperbuat daripada kayu cengal berlantaikan kayu seraya, bertiang 12 selain manakala lantainya berpasak dan berselak.

Rumah bujang berselasar lazimnya berbumbung panjang dengan papan pemeleh dan beralas atap singgora.

Secara tidak langsung, ia memberi tekstur menarik selain identitinya turut terletak pada struktur tiang dan ruang selasar, rumah ibu dan dapur.

Sesuai dengan namanya bujang, rumah ini tidak mempunyai bilik sebaliknya hanya mempunyai ruang luas (rumah ibu).

Ini kerana masyarakat Melayu mementingkan perjumpaan atau berkumpul untuk majlis keramaian dan keagamaan.

Aras paling tinggi adalah rumah ibu yang bahagian bawahnya boleh dilalui dan dilakukan pelbagai aktiviti harian. Selasarnya pula hanya setinggi paras pinggang orang dewasa. Selasar berfungsi sebagai ruang untuk mengajar mengaji, menjahit pukat atau jala dan aktiviti santai yang banyak membabitkan golongan lelaki.

Seterusnya, rasional di sebalik lantai jarang adalah untuk memenuhi keperluan seperti membasuh lantai, memandikan mayat, menyapu habuk, selain menyejukkan.

Salur angin yang menghiasi dinding rumah bagi menggantikan tingkap pula berfungsi untuk memberi pengudaraan dan pencahayaan sempurna di ruang rumah ibu.

Elemen tangga juga penting dalam rumah bujang berselasar dan terdapat sebuah tangga yang menghubungkan selasar dengan tanah dan selasar dan ruang ibu.

Binaan bumbung yang rendah pada pintu sekali gus menuntut posisi menunduk ketika memasuki rumah ibu sebagai tanda hormat kepada tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:01 AM