WANG menunjukkan hidangan disediakan Gyuniku Signature.
WANG menunjukkan hidangan disediakan Gyuniku Signature.
TEE ya kuih dengan gula melaka, puding sagu, puding karamel dan kuih mua chi antara pemanis mulut di Gyuniku Signature.
TEE ya kuih dengan gula melaka, puding sagu, puding karamel dan kuih mua chi antara pemanis mulut di Gyuniku Signature.
SPECIAL mix beef koay teow soup.
SPECIAL mix beef koay teow soup.
ANTARA hidangan menarik dan enak di Gyuniku Signature.
ANTARA hidangan menarik dan enak di Gyuniku Signature.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Keinginan menikmati sajian tradisi Pulau Pinang mengheret penulis ke Gyuniku Signature di Pasar Seni, minggu lalu.

Menurut seorang sahabat, restoran yang popular dengan hidangan berasaskan daging lembu itu bukan saja menyediakan hidangan enak, tapi turut menawarkan persekitaran menarik.

Dibuka sejak September 2013, restoran ini mempunyai susun atur dalaman yang unik dan menggamit nostalgia kedai kopi era 60-an. Kerusi dan mejanya menonjolkan seni vintaj manakala makanan dan minuman disaji menggunakan pinggan ayan serta koleh comel yang dibeli khas dari Pulau Pinang.

Penulis mengambil kesempatan mencuba menu popular iaitu special mix beef koay teow soup.

Berbeza dengan sup biasa, hidangan ini mengandungi campuran bebola daging, lidah, perut, ekor dan hirisan daging di bahagian kaki lembu.

Tambah enak apabila bahagian daging dan tulangnya direbus lebih lima jam bersama lobak dan bawang untuk mendapatkan rasa sup yang 'mengancam'.

Selain sup daging lembu, anda juga boleh mencuba pelbagai sajian lain termasuk braised beef brisket wanton noodle, bbq chicken wanton noodle, menu claypot, sup salmon serta hidangan berasaskan kambing.

Usai menghabiskan sup, penulis mencuba hidangan pemanis mulut. ais kacang, kuih mua chi dan tee ya menjadi pilihan memandangkan ketiga-tiganya cukup terkenal di Pulau Pinang.

Menurut pemilik Gyuniku Signature, Wang Soo Kheng, ais kacang di restorannya digemari pengunjung tempatan dan pelancong luar.

"Mereka sukakan rasa ais kacang dan cendol yang mengimbau ingatan ke Pulau Pinang selain memuji keenakan kuih mua chi dan tee ya kuih yang sukar ditemui di kuala lumpur," katanya.

Bercerita lanjut mengenai pemilihan bahan makanan dan dekorasi restorannya, Wang mengakui dia cerewet untuk memastikan kualiti makanan dan keselesaan pelanggan terjaga.

"Ini adalah cawangan kedua Gyuniku Signature selepas Taman Tun Dr Ismail. Walaupun nama restoran menggunakan bahasa Jepun, namun kita menyajikan hidangan tempatan.

"Majoriti hidangan berasaskan cita rasa Pulau Pinang, tapi diberi sentuhan menarik untuk menepati selera pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:13 AM