TORY bersama hidangan istimewa ditawarkan di Jaman Tory Signature.
TORY bersama hidangan istimewa ditawarkan di Jaman Tory Signature.
Suliati Asri


Menikmati ikan patin tempoyak dan daging salai masak lemak dengan nasi panas serta ulam-ulaman pasti membuatkan anda makan hingga menjilat jari.

Namun, bagaimana pula dengan hidangan spagetti patin dan spagetti daging salai? Hidangan yang menggabung­kan masakan tradisional dan Barat?

Ia bagaikan satu hidangan yang tidak masuk akal dan rasanya juga pasti pelik. Mana tidaknya, menggabungkan makan tradisional yang digemari ramai dengan makanan Barat bagaikan satu gabungan yang tidak kena.

Tapi, apabila menikmati sendiri sememangnya satu hidangan yang cukup me­ngujakan dan membuka selera terutama peminat makanan tradisional serta barat.

Ternyata, objektif dalam mencari menu eksklusif dan lain dari yang lain dengan menggabungkan masakan tradisional dan barat berjaya direalisasikan di Jaman Tory Signature, Kuantan, Pahang.

Pemilik Jaman Tory Signature, Affandie Ahmad berkata, idea menggabung­kan dua jenis masakan ini tercetus apabila beliau mengambil keputusan untuk mewujudkan ruang makan yang lebih ekslusif kepada pelanggannya.

Menurutnya menerusi pembukaan kedai yang lebih eksklusif ini, menu yang ditawarkan juga haruslah berlainan dengan menu di tempat lain.

“Kalau nak eksklusif, menunya juga kena lain dan hasil perbincangan dengan cef, kami menggabungkan menu yang menjadi kegilaan ramai dalam satu sajian yang baru.

“Dari situ, terciptalah hidangan yang kini semakin mendapat sambutan ramai terutama penggemar makanan tradisional dan barat termasuk spagetti patin, spagetti daging salai, smoke beef rib,” katanya.

Sentiasa ingin mencari­ kelainan dan menjadi pelopor dalam penghasilan menu menarik, Affandie yang juga dikenali sebagai Tory bersama cef di restorannya melakukan banyak percubaan untuk mendapatkan hasil seperti yang ada kini.

“Bagi mendapatkan hidangan yang istimewa ini, cef dan saya melakukan banyak percubaan untuk mendapatkan hidangan benar-benar menepati selera selain tidak menghilangkan rasa tradisionalnya.

“Gabungan rempah-ratus terpilih yang digunakan selain keaslian bahan masakan turut menjadi penyumbang kepada keenakan rasa setiap hidangan yang disajikan di sini,” katanya.

Berkongsi cara penyediaan menu yang menggabungkan makanan tradisional dan barat itu, Tory berkata, cara penyediaan hidangan ini tetap sama, namun pengolahannya berbeza dengan penambahan bahan istimewa .

“Bagi resipi spagetti daging salai, bahan dan cara penyediaannya tetap sama iaitu bawang, minyak zaitun, daging salai, krim memasak untuk rasa yang lebih lemak, herba-herba terpilih dan spagetti.

“Begitu juga dengan penyediaan spagetti patin dan hidangan yang lainnya. Rata-rata menggunakan cara penyediaan yang sama cuma bahan-bahannya saja berlainan,” katanya.

Walaupun menu di Jaman Tory Signature ini menggabungkan masakan tradisional dan moden, hidangannya tidak lari dari konsep tradisional yang juga menjadi ‘signature’ restorannya.

Bercerita berkenaan kesegaran ikan patin yang digunakan, kata Tory ikan patin di restorannya ini diambil dari Temerloh dan ia adalah ikan patin sangkar sungai.

Selain hidangan spagetti patin, spagetti daging salai dan smoke beef rib dan beberapa lain menu istimewa, makanan tradisional seperti set daging salai masak lemak, ikan patin masak tempoyak stim dan ikan patin masak tempoyak turut disediakan.

Tidak ketinggalan, masa­kan barat tanpa gabungan tradisional juga turut disediakan di sini.

Hidangan air kanyor yang menggabungkan kopi dan lemon, Kopi Hoolahoop dan Nyor Putor pasti memberikan kesegaran menjadi pelengkap saat menjamu selera di Jaman Tory Signature.

Beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 10.30 malam, Jaman Tory Signa­ture antara lokasi menjamu selera yang harus dikunju­ngi untuk menikmati ke­enakan gabungan masakan tradisional dan Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 5:31 AM