Bufet hidangan stimbot di Maya Brasserie, Hotel Maya, menawarkan lebih 50 menu termasuk makanan laut dan daging, tetapi dalam pilihan lebih sihat, segar serta pelbagai jenis sayuran bagi mereka yang mementingkan pemakanan seimbang.

Kepelbagaian sup juga memberi peluang kepada peminat stimbot untuk mencuba hidangan disediakan antaranya tomyam dan sup ayam herba.

Sebaik makanan sedia dimasak, ia boleh dicicah bersama sos istimewa yang mempunyai rasa manis, masam dan pedas.

Pada masa sama, pelanggan juga dapat menikmati kesegaran koktel udang, tauhu makanan laut, gulungan otak-otak, kubis Cina, pelbagai jenis cendawan, ketam, kerang, kupang dan nuget makanan laut.

Puas menikmati hidangan utama, peminat pencuci mulut pula boleh mencuba kek teh hijau, puding mangga, kek mentega kacang dan ais krim pelbagai perisa.

Hidangan stimbot itu disediakan untuk makan tengah hari bermula 12 hingga 23 September ini dengan harga RM50 untuk kanak-kanak dari lima ke 12 tahun dan RM95 untuk dewasa.

Sementara itu, hotel itu turut menawarkan pelbagai hidangan ramen lazat di restorannya, Still Waters bermula bulan ini hingga Oktober dengan tawaran harga menarik.

Bagi mereka yang meminati hidangan kek, Ramah Tamah yang terletak tingkat satu Hotel Maya, menghidangkan kek mousse kacang hazel yang dipenuhi dengan biskut dan fudge coklat.

Kek yang boleh didapati sepanjang bulan ini dijual pada harga RM105 bagi setiap satu kilogram atau RM13 untuk setiap potongan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 5:09 AM