KAMBING panggang antara hidangan menarik.
KAMBING panggang antara hidangan menarik.

Keenakan resipi tradisi Tok Wan menjadi tarikan utama buat pelanggan yang hadir menikmati juadah berbuka puasa sempena Ramadan bermula 7 Jun hingga 5 Julai di Hotel Vistana, Bukit Jambul, Pulau Pinang.

Menerusi harga RM65 bersih untuk dewasa serta RM30 bersih untuk kanak-kanak, pastinya berbaloi apabila lebih 101 resipi dihidangkan daripada hidangan pembuka selera, menu utama, pencuci mulut serta tidak ketinggalan air manisan dan kek istimewa.

Pengurus Besar Vistana Pulau Pinang Wayne Lee berkata, pada tahun ini pelbagai keistimewaan dan pilihan disediakan sempena Ramadan dengan masakan tradisi Melayu terutama masakan klasik Pahang.

Katanya, masakan resipi Tok Wan serta tradisi kampung sudah semestinya merangkumi ulam-ulaman seperti ulam raja, jantung pisang, petai serta kerabu mangga, kerabu sotong dan kerabu kaki ayam.

“Menjadi pelengkap kepada masakan kampung sudah semestinya sambal belacan, cencaluk, tempoyak, budu dan sambal nanas untuk membuka selera, selain sup daging yang enak.

“Hidangan utama pula ayam goreng berempah, ikan cencaru belah belakang, daging rendang tok, siput belitung masak lemak cili api, gulai daging, ikan patin masak tempoyak dan pucuk ubi masak lemak.

“Selain itu, tidak ketinggalan menu yang sinonim dengan Pulau Pinang seperti asam laksa, murtabak, rojak dan pasembor turut disediakan,” katanya pada Majlis Pelancaran Bufet Ramadan Vistana Pulau Pinang, baru-baru ini.

Lee berkata, di rua­ngan ‘Bakar-Bakar’ pula, pihaknya menyediakan pilihan seperti sate, kambing panggang, ikan bakar dan ayam panggang dengan sos istimewa mengikut selera pelanggan.

Bagi pencuci mulut, pelbagai jenis kuih-muih Melayu disediakan seperti kuih cara manis, onde-onde, seri muka, ketayap dan kuih loyang selain ais kacang serta sago gula melaka.

Di samping itu, pe­ngunjung turut dihiburkan dengan gesekan biola dan kemahiran artis budaya Hashim Ariffin bersama rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 11:59 AM