RUMAH agam yang dilapor mahu dibeli oleh David dan Victoria Beckham. - Agensi
RUMAH agam yang dilapor mahu dibeli oleh David dan Victoria Beckham. - Agensi

Los Angeles: Pasangan selebriti, David dan Victoria Beckham dilapor merancang membeli rumah agam di bandar raya ini yang dilengkapi 14 kamar tidur dan 27 bilik mandi dengan harga RM891 juta.

Rumah itu adalah yang terbesar di daerah Los Angeles dan terletak di kawasan seluas 4.6 ekar.

Ia menjadi hartanah yang paling dikehendaki pasangan itu selepas mereka menawar untuk menjual rumah mereka di Bel Air yang bernilai RM133 juta.

Pasangan itu yang berkahwin pada 1999 sebelum ini menyenaraikan rumah idaman yang dapat memenuhi keperluan empat anak mereka, lapor akhbar The Daily Star.

Rumah yang bakal dibeli itu dikatakan akan membantu tugas Victoria selaku pereka fesyen selain mempunyai tempat untuk anak mereka, Brooklyn dan rakannya di samping sebuah studio tari untuk Harper, satu-satunya anak perempuan keluarga itu yang kini berusia lima tahun.

Selain itu, ia juga mempunyai gelanggang tenis, kolam renang, gym, gelanggang boling, empat garaj untuk dua kereta dan ruang yang boleh memuatkan 100 kereta.

Pada 2009, harga rumah itu ditawar untuk dijual pada harga RM668 juta - menjadikannya yang termahal di Amerika Syarikat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 9:05 AM