Rumah Bel Air Serena yang di Los Angeles. FOTO Caters News Agency
Rumah Bel Air Serena yang di Los Angeles. FOTO Caters News Agency
The Sun

SERENA Williams mahu menjual rumah mewah eksklusif Bel Air miliknya pada harga USD12 juta (RM51 juta).

Sesiapa membelinya berpeluang merasai kehidupan seperti seorang pemain tenis terhebat dunia.

Pemain tenis legenda wanita itu menjual rumah terbabit dimiliknya selama 11 tahun dan berhasrat menjualnya sekali ganda harga asal yang dibeli USD6.6 juta (RM28 juta) pada 2006.

Bintang tenis itu kini tidak menang tangan sejak melahirkan anak sulungnya, bulan lalu, diberi nama Alexis Olympia Ohanian Jr iaitu anaknya dengan usahawan Reddit, Alexis Ohanian.

Tiga beranak itu kini sedang mencari kediaman baru di tempat lain.

Rumah terletak di atas tanah dengan keluasan satu hektar, kediaman Serena antara terbesar dan paling dikenali terletak di lereng bukit Sunset Boulevard di Los Angeles.

Rumah turut memiliki enam tempat tidur, taman persendirian, kolam renang dan laluan jalan kaki berbumbung dari tempat letak kenderaan untuk tetamu.

Di dalam rumah dibina pada 1935 dengan cita rasa tradisional, ia dilengkapi dengan bilik tidur utama yang besar, bilik mandi/tab berendam mewah dan pemandangan menarik luar jendela.

Malah rumah milik juara grand slam 23 kali itu cukup luas untuk menerima kedatangan tetamu dengan ruang santai dan sebuah kawasan bar.

Selain itu, rumah itu mempunyai sebuah salon kecantikan untuk Serena berdandan dan gimnasium untuk melakukan senaman kecergasan.

Selain kediaman Bel Air di Los Angeles itu, Serena mempunyai dua rumah lagi di Florida dan dikatakan mempunyai hartanah di Paris, Perancis.

Pada 2013, Serena menjual kondominium mewahnya di Wilshire Boulevard pada harga USD1.85 juta (RM7.8 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 8:24 PM