Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’™adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat pulang ke Kedah menaiki pesawat khas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, kira-kira jam 11 pagi.

Pesawat khas berkenaan berlepas ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dengan diiringi tiga pesawat pejuang F/A-18 Hornet.

Terdahulu, istiadat keberangkatan pulang Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah berlangsung penuh istiadat bermula dengan ketibaan kenderaan rasmi dinaiki baginda berdua, kira-kira jam 10 pagi sambil diiringi perarakan termasuk dua gajah bermula di simpang jalan berhampiran hingga pintu masuk kompleks berkenaan.

Seterusnya, baginda berdua menyaksikan persembahan pencak silat di pintu masuk bangunan kompleks berkenaan.

Terdahulu, ketibaan baginda berdua disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.

Istiadat kemudian diteruskan dengan bacaan doa dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dan persembahan Lambaian Kasih 'Daulat Tuanku' di dataran kompleks berkenaan.

Baginda berdua kemudian turut melambai kepada tetamu ketika berdiri di tangga sebelum memasuki pesawat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 12:30 PM
Yang di-Pertuan Agong ke-14 dan Raja Permaisuri Agong berlepas pulang ke Kedah dengan pesawat khas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Yang di-Pertuan Agong ke-14 dan Raja Permaisuri Agong berlepas pulang ke Kedah dengan pesawat khas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.FOTO Ahmad Irham Mohd Noor