IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Ibrahim Isa


Muar: Pejabat pengurusan projek Sime Darby di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP), dekat sini, musnah dalam kebakaran, 3.15 petang ini.

Selain itu, bahagian depan lima kereta rosak akibat bahang kebakaran manakala seorang kakitangan syarikat berkenaan cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Marzuki Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.18 petang.

Katanya, tiga jentera membabitkan 18 anggota dikejarkan ke lokasi.

Tiga jentera itu, katanya, membabitkan dua dari balai bomba dan penyelamat Muar manakala satu jentera dari Bukit Gambir.

"Apabila tiba kami dapati api marak membakar satu bangunan diperbuat daripada zink, kayu dan tiang besi.

"Selain itu, lima kenderaan membabitkan empat pacuan empat roda dan satu kereta pekerja rosak di bahagian depan akibat terkena api.

"Kami memerlukan kira-kira lima minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan sebelah dan operasi tamat pada 7 petang,’ katanya.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira enam pekerja bertugas di dalam bangunan itu dan terkejut apabila mendapati api mula terbakar dari dalam premis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2016 @ 7:42 PM