Chan (kanan)  pada prapelancaran SVM dan pelancaran kempen ‘Belanja dan Menang’, semalam.
Chan (kanan) pada prapelancaran SVM dan pelancaran kempen ‘Belanja dan Menang’, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Sunway Malls melancarkan pusat beli-belah kelimanya iaitu Sunway Velocity Mall (SVM) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.6 bilion di mana ia dijangka memberi pengalaman membeli-belah unik kepada kira-kira 1.72 juta penduduk di kawasan sekitarnya.

Tarikan terbaru yang terletak di Cheras itu adalah sebahagian daripada komponen pembangunan bercampur bagi Sunway Velocity yang memiliki keluasan sehingga 9.30 hektar dengan GDV keseluruhan sebanyak RM3.6 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Beli-Belah dan Taman Tema Sunway, H C Chan berkata, pusat beli-belah itu diharap mampu menyediakan satu tempat untuk warga kota berehat dan menikmati masa terbaik bersama rakan dan keluarga.

“SVM dibina untuk meningkatkan pengalaman di komuniti persekitaran dan menyediakan pengalaman runcit dan hiburan terbaik,” katanya pada prapelancaran SVM dan pelancaran kempen ‘Belanja dan Menang’, semalam.

SVM adalah pusat beli-belah setinggi tujuh tingkat dan ruang runcit satu juta kaki persegi dengan penyertaan jenama runcit besar termasuk AEON MaxValu Prime pertama di Malaysia dan ketiga di dunia selepas Jepun dan Hong Kong.

Selain itu, dua penyewa utama adalah Parkson dan TGV Cinemas serta beberapa jenama runcit antaranya Grand Imperial, Uniqlo, Harvey Norman, Padini Concept Store dan Toys ‘R’ Us.

Beliau berkata, pusat itu diyakini mampu menarik kunjungan orang ramai di mana ia terletak di kawasan segi tiga ruang runcit yang terdiri daripada Ikea Cheras, pusat beli-belah AEON Maluri, pusat beli-belah MyTOWN dan pembangunan kawasan Tun Razak Exchange (TRX).

“Daripada aspek kadar penghunian, kami menerima sambutan daripada penyewa di mana sehingga kini mencatatkan jumlah sehingga 95 peratus dan dijangka mencapai tahap 100 peratus menjelang separuh kedua tahun depan,” katanya.

Bersempena prapelancarannya, SVM melancarkan kempen ‘Belanja dan Menang’ yang akan berlangsung sepanjang sambutan Krismas dan Tahun Baru Cina bermula dari 8 Disember 2016 hingga 12 Februari 2017.

Hadiah yang bakal dimenangi pengunjung SVM termasuk Volvo V40 sebagai hadiah utama, trip perjalanan ke Korea untuk dua orang yang ditanggung sepenuhnya Always 21, kerusi urut Gintell De’Wise Butterfly Care, Cincin Berlian Celistar oleh SK Jewellery.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 7:19 AM