POH (kiri) selepas mesyuarat agung tahunan AEON, semalam.
POH (kiri) selepas mesyuarat agung tahunan AEON, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: AEON Co (M) Bhd memperuntukkan perbelanjaan modal antara RM300 juta hingga RM400 juta tahun ini berbanding RM500 juta tahun lalu berikutan langkah syarikat menyepadukan dan memperlahankan portfolio pembangunannya sejak dua tahun lalu.

Pengarah Eksekutifnya, Poh Ying Loo berkata, secara purata syarikat membuka dua pusat beli-belah dalam tempoh setahun berbanding sebuah pada masa ini, sekali gus menjadikan perbelanjaan keseluruhan lebih rendah.

“Untuk tahun ini, perbelanjaan modal ini akan diperuntukkan bagi kerja menaik taraf cawangan pasar raya Aeon di Bandar Sunway dan Bandar Utama serta Tebrau City, Johor Bahru, memperluaskan pusat beli-belah AEON di Taman Maluri dan membina pusat beli-belah baru di Nilai,” katanya selepas majlis mesyuarat agung tahunan (AGM) di sini, semalam.

Sehingga kini, AEON memiliki 35 cawangan pasar raya dan 27 pusat beli-belah di seluruh negara dengan pusat beli-belah AEON Mall terbaru akan dibuka di Nilai menjelang suku pertama tahun depan.

Dalam masa sama, syarikat itu merancang untuk mewujudkan perkhidmatan pandu lalu barangan runcit di AEON Bukit Indah menjelang Jun ini.

Beliau berkata, perkhidmatan itu akan membolehkan pelanggan melakukan tempahan barang secara dalam talian dan mengambil barang itu secara pandu lalu.

“Perkhidmatan terbaru ini adalah nilai tambah bagi perniagaan e-dagang sedia ada syarikat di mana ia akan mengukuhkan lagi strategi pemasaran pelbagai saluran syarikat,” katanya.

Mengulas kemungkinan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menurunkan harga barang, Poh berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk dinilai dan dimuktamadkan.

“Kami akan mengambil langkah untuk tunggu dan lihat terhadap situasi ini dan mendapatkan penjelasan lanjut sebelum menetapkan sebarang keputusan mengenai harga barangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 1:55 AM