Nur Saliawati Salberi


Alor Gajah: Dua sahabat maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi di Kampung Lendu di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, penunggang motosikal, Ahmad Raihan Wee Ahmad Shah, 15, dan rakannya Altaf Hakim Sallehudin, 15, disahkan maut di tempat kejadian.

Menurut polis, mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss dalam perjalanan dari Alor Gajah menuju Masjid Tanah.

Setiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan.

Sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 56 tahun yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

Kedua-dua mangsa yang cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan kejadian dan menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 10:14 PM
Jenazah dua sahabat Ahmad Raihan dan Altaf Hakim (gambar kecil) dimasukkan ke dalam kenderaan untuk dibawa ke hospital. - Foto RASUL AZLI SAMAD
Jenazah dua sahabat Ahmad Raihan dan Altaf Hakim (gambar kecil) dimasukkan ke dalam kenderaan untuk dibawa ke hospital. - Foto RASUL AZLI SAMAD